Friday, March 09, 2012

Pendidikan Negara Bertaraf Dunia, Muhyiddin Terima Anugerah Kehormat AUAM


Muhyiddin Yassin dan Abdul Aziz Abdul Rahman (tiga dari kiri) bersama penerima Anugerah Kecemerlangan Alumni (dari kiri) Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Lim Wee Chai, Ng Yih Chen, Ahmad Zaini Othman dan Kamaruzzaman Shariff pada majlis makan malam Persatuan Alumni Universiti-Universiti Amerika Malaysia di Kuala Lumpur, malam tadi. 

KUALA LUMPUR 7 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sentiasa beriltizam untuk memperbaiki sistem pendidikan negara dan komitmen itu berterusan dari semasa ke semasa.

Ujar Timbalan Perdana Menteri, untuk itu, pencapaian memberangsangkan yang dikecapi dalam sistem pendidikan di masa lalu tidak boleh dijadikan 'kayu pengukur' kerana apa yang perlu difokuskan kini adalah pembangunan generasi muda.

Menurut beliau, ini bagi membolehkan golongan itu mampu menghadapi pelbagai cabaran baru pada masa depan.

''Inilah sebabnya baru-baru ini kerajaan mengumumkan untuk mengkaji semula sistem pendidikan negara. Kita perlu melihat dari pelbagai aspek dalam pendidikan kita dan memperbaikinya.

''Kita mahu sistem pendidikan negara mampu melahirkan modal insan yang berkemahiran dan berpendidikan bagi memacu negara pada masa akan datang.

''Dalam merealisasikan matlamat itu, kita perlu meningkatkan kekuatan dan mempelajari sistem terbaik dari luar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis makan malam sempena ulang tahun Persatuan Alumni Universiti-Universiti Amerika Malaysia (AUAM) ke-35, di sini malam ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin menerima Anugerah Kehormat AUAM atas usahanya melonjakkan kecemerlangan pendidikan negara sehingga bertaraf dunia.

Turut hadir, Presiden AUAM, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Muhyiddin berkata, dalam membawa transformasi pendidikan itu, kerajaan dan negara akan berdepan dengan pelbagai cabaran terutama menyeimbangkan antara ekonomi serta pembangunan sosial.

Beliau kemudiannya menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Alumni kepada lima tokoh yang telah menyumbang kepada pembentukan bangsa.

Tokoh-tokoh itu ialah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Kamaruzzaman Shariff; Pengerusi Top Glove Corporation Bhd., Tan Sri Lim Wee Chai dan Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Turut menerima, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Building Society Bhd., Datuk Ahmad Zaini Othman serta Pengarah Eksekutif Tomei Consolidated Bhd., Ng Yih Chen.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...