Thursday, March 08, 2012

Tingkat kemahiran menerusi Fikir 2012


Halimah Mohamed Sadique menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil peserta Program Perkongsian Ilmu Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Komuniti Tenggara 2012 di Kulaijaya, Johor, baru-baru ini.

KULAIJAYA 6 Mac - Lebih 300 peserta mengikuti Program Perkongsian Ilmu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Komuniti Tenggara 2012 (Fikir 2012) yang diadakan di Mini Stadium Bandar Tenggara, dekat sini baru-baru ini.

Pengarah program, Dr. Janatul Islah Mohammad berkata, program itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran komuniti setempat menerusi perkongsian ilmu yang dilaksanakan oleh pihak universiti.

"Selain itu, ia juga meningkatkan kesedaran mengenai penglibatan mereka sebagai modal insan serta mengeratkan hubungan antara ilmuan UTeM dengan masyarakat terutama dalam proses membudayakan ilmu pengetahuan.

"Sejajar dengan kepakaran dan kemahiran yang bersifat intelektual dalam kalangan ahli akademiknya, UTeM menggalakkan mereka turun padang berkongsi pengetahuan dan kemahiran dengan masyarakat setempat," katanya.

Program anjuran bersama Biro Pelajaran UMNO Bahagian Tenggara, Biro Pelajaran Pemuda UMNO Bahagian Tenggara serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Masyarakat (JKKM) Bandar Tenggara itu dirasmikan Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Baderi Dasuki.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Pengerusi Biro Pelajaran UMNO Bahagian Tenggara, Nasarudin Ahmad dan Pengerusi Biro Pelajaran Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Hahasrin Hashim.

Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah Usahawan Remaja (Facebook); Mesra IT (asas teknologi maklumat); Kongsi dan Amal (sesi motivasi pelajar); Bijak Niaga (penyediaan rancangan perniagaan) dan Rempit Sihat (asas permotoran yang selamat).

Sementara itu, Nasarudin berkata, program tersebut menekankan penghayatan ilmu menerusi pemerkasaan lima aktiviti itu untuk memberi peluang kepada masyarakat dan sebagai motivasi kepada pelajar menimba ilmu yang dibawa oleh ahli akademik UTeM.

"Diharap ia dapat membantu melahirkan modal insan yang berupaya berfikir dengan kreatif dan kritis serta mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat," katanya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...