Thursday, March 08, 2012

UKM Juara Debat Perdana Integriti Piala Perdana Menteri 2012

DAING Nasir Ibrahim (dua, kiri) menyampaikan hadiah kepada ketua kumpulan debat UKM, Najah Izzati Suleman diikuti Mohamed Affendy Hasni, Mohd. Yusry Hydus dan Abdul Hakim Md. Yusoff di Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 6 Mac – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melakar sejarah apabila muncul juara Debat Perdana Integriti Piala Perdana Menteri 2012 menewaskan Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) pada pertandingan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini baru-baru ini.

Pasukan UKM yang bertindak sebagai pencadang membentangkan usul bertajuk Pembinaan Integriti Mahasiswa Terencat dibarisi Abdul Hakim Md. Yusoff, Mohamed Affendy Hasni, Mohd. Yusry Hydrus dan Najah Izzati Suleman.

Lebih mengharumkan nama UKM, Mohd. Yusry Hydrus yang sudah empat kali mewakili universiti tersebut dinobatkan sebagai pendebat terbaik.

Kemenangan itu membolehkan UKM membawa pulang wang tunai RM6,000, sebuah iPad setiap seorang, Piala Pusingan Perdana Menteri, piala iringan beserta sijil penyertaan sementara Mohd. Yusry menerima RM1,000 beserta piala dan sijil penyertaan.

Selaku naib johan, pasukan UnisZA yang diwakili Wan Zainuddin Ali Aspar, Mohd. Adib Aiman Abdul Shahar, Nurul Ain Mat Rahim dan Mohd. Nadzely Abdul Karim menerima wang tunai RM4,000, piala iringan dan sijil penyertaan

Seramai 19 peserta institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan 10 swasta (IPTS) serta dua Institut Pendidikan Guru (IPG) menyertai pertandingan debat yang berlangsung selama empat hari bermula 24 Februari lalu.

Penganjuran bertemakan Integriti Menjana Transformasi adalah hasil kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM), UMP dan Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (MADUM).

Sementara itu Naib Canselor UMP, Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, debat itu bertepatan dengan temanya yang mengisyaratkan perlunya golongan pembuat dan pelaksana dasar serta rakyat Malaysia meletakkan ketelusan pada kedudukan yang sepatutnya bagi menjayakan agenda transformasi negara.

Menurut Daing Nasir, komitmen tinggi pemerintah untuk melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Transformasi Politik perlu disahut oleh para penggerak jentera pentadbiran dan rakyat secara keseluruhannya bagi mencapai Wawasan 2020.

Sementara itu Presiden IIM, Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh berkata, penganjuran pertandingan itu dapat meningkatkan ketelusan di kalangan penuntut institusi pengajian tinggi.

Katanya, belia pada masa ini khususnya mahasiswa terdedah kepada pelbagai masalah terutama berkaitan intelektual (IQ) dan emosi (EQ) yang akan meninggalkan kesan yang mendalam termasuk berkaitan kesihatan dan sosial.

Dalam pada itu, UMP yang diwakili Siti Aisyah Mustapha, Qusyairi Hashim, Qamaruddin Mohd. Fauzi dan Wu Daniel hanya mara ke pusingan suku akhir apabila tewas dengan pasukan UnisZA.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...