Thursday, March 08, 2012

UMS Link sasar kendali pengajian Sarjana Komunikasi


Inon Shaharuddin Abdul Rahman (tiga dari kiri) menerima sumbangan komputer daripada Rizal Malik pada majlis penyerahan lima unit komputer kepada Sekolah Sains Sosial UMS di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

KOTA KINABALU 6 Mac - UMS Link Holdings Sdn. Bhd. merancang mengendalikan kursus Sarjana Komunikasi bagi memenuhi permintaan penuntut dalam bidang berkenaan di Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Pengurus Sektor Pendidikan dan Latihannya, Rizal Malik berkata, jika terlaksana, tawaran bagi kursus tersebut akan dilakukan melalui pusat pembelajaran UMS Link di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching, Brunei dan Kalimantan Timur, Indonesia.

"Kita sentiasa berusaha memperluaskan penawaran program pengajian agar dapat meningkatkan perolehan syarikat memandangkan 60 peratus daripada pulangan korporat akan dikembalikan kepada pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS)," katanya.

Rizal berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan lima unit komputer kepada Dekan Sekolah Sains Sosial (SSS), Prof.. Madya Inon Shaharuddin Abdul Rahman di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Kanan Perkhidmatan Korporat, Perundangan dan Governan UMS Link Holdings Sdn. Bhd., Yusak Yumboris; Ketua Program Komunikasi SSS, Dr. Haryati Abdul Karim dan Profesor Komunikasi di SSS, Prof. Datuk Dr. Hamdan Adnan.

Beliau berkata, komputer model Apple iMac 21.5 itu adalah untuk keperluan pembelajaran praktikal penuntut program SSS seperti proses multimedia audio visual.

Terdahulu Inon memberitahu, SSS baru sahaja memperkenalkan penggunaan kelengkapan pengajian bidang komunikasi dengan menempatkan sebuah konti radio dan sebuah studio televisyen.

"Studio ini merupakan kemudahan kajian untuk memproses hasil rakaman kajian di lapangan, video komersial, persembahan dan bahan-bahan etnomuzikologi.

"Hasil proses audio visual boleh dihantar ke pusat-pusat penerbitan audio visual dalam dan luar negeri untuk tujuan penyebaran ilmu dan promosi," katanya.

Beliau menambah, setakat ini hanya UMS merupakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menempatkan kemudahan seperti itu bagi keperluan program komunikasi.

Jelas beliau, sebagai permulaan pihaknya telah mengenal pasti 20 penuntut yang akan bertugas sebagai penyampai radio dan rancangan itu akan ke udara dari pukul 8 pagi hingga 6 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat.

- utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...