Thursday, March 15, 2012

UMS-UTeM Tuan Rumah "Imagine Cup 2012", 16 - 17 Mei

KOTA KINABALU 13 Mac - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi menganjurkan pertandingan Imagine Cup (IC) 2012 di sini dari 16 hingga 17 Mei ini.

Kesepakatan tersebut dibuat dalam kunjungan hormat Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan ke atas Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon di UMS baru-baru ini.

Kamaruzaman berkata, melalui kerjasama itu, UMS dan UTeM akan bersama-sama menjayakan program bertaraf dunia yang diamanahkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi itu.

Katanya, kedua-dua pihak turut memanjangkan agenda itu menerusi perbincangan dan perancangan komprehensif bagi memastikan penganjuran kali ini berjaya dilaksanakan dengan cemerlang.

Dalam pada itu beliau berkata, pemilihan UMS sebagai tuan rumah amat bermakna sekali buat universiti itu dan penghargaan besar kepada seluruh rakyat negeri ini.

"Pihak UMS begitu berbesar hati dalam menjadi penganjur pelaksana bersama dengan UTeM dan akan meletakkan keutamaan memastikan program ini berjalan dengan lancar dan mencapai matlamatnya," kata beliau di sini baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata, pertandingan pada tahun ini merupakan penganjuran kali keempat oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan syarikat multinasional, Microsoft.

Katanya, pertandingan IC kali ini bakal menyaksikan kehebatan dan kreativiti para pelajar institusi pengajian tinggi mencipta perisian baru bagi membantu menyelesaikan permasalahan dan isu global.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...