Thursday, March 08, 2012

UTP, Synergy meterai MoU bangunkan sumber elektrik


PARIT 6 Mac - Universiti Teknologi Petronas (UTP) baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Synergy International Sdn. Bhd. bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bekalan tenaga elektrik secara lestari.

Naib Canselor UTP, Prof. Datuk Dr. Zainal Abidin Kasim berkata, perjanjian itu juga antara lain meliputi projek penyambungan sumber tenaga boleh diperbaharui ke grid tenaga elektrik kebangsaan.

"Kerjasama ini adalah sejajar dalam memenuhi peningkatan permintaan keperluan tenaga yang berdepan cabaran penjagaan alam sekitar. Justeru, satu penyelesaian untuk memastikan sumber bekalan secara berterusan perlu diambil daripada sekarang.

"Berbekalkan pengalaman Synergy, kerjasama itu juga secara tidak langsung dapat meningkatkan pembangunan holistik para graduan UTP ke arah memenuhi sumber keperluan tenaga manusia pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani MoU antara UTP dan Synergy International Sdn. Bhd. di UTP Seri Iskandar baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Zainal Abidin dan Timbalan Naib Canselornya (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Abdul Rashid A. Aziz mewakili UTP manakala Synergy International Sdn. Bhd. pula diwakili Pengarah, Ekrami Daud serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. James McCallum.

Dalam pada itu, Zainal memberitahu, Synergy bermurah hati memberi lesen perisian bernilai lebih RM9 juta untuk kegunaan penyelidik serta mahasiswa jurusan kejuruteraan petroleum di UTP.

Perisian itu, kata beliau, dapat digunakan bagi melengkapkan penilaian serta analisis kajian geosains mengikut piawaian industri.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...