Thursday, March 08, 2012

UUM jalin kerjasama IPT di Poland


KUBANG PASU 6 Mac - Universiti Utara Malaysia (UUM) akan mengadakan kerjasama akademik dengan beberapa institusi pendidikan tinggi (IPT) terkemuka di Poland terutama membabitkan program muzik dan budaya.

Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, kerjasama berkenaan boleh dilaksanakan kerana Malaysia dan Poland memiliki hubungan yang erat.

''Ini termasuk Duta Besar Republik Poland ke Malaysia, Prof. Dr. Adam W. Jelonek mempunyai hubungan baik dengan UUM,'' katanya selepas menyaksikan Konsert A Piano Recital selama 52 minit oleh pemain piano terkenal dari Eropah, Lech Napierala di UUM, Sintok di sini hari ini.

Mohamed Mustafa berkata, Prof. Dr. Jelonek merupakan profesor pelawat pertama dari Poland ke UUM dari 1999 hingga 2000 setelah satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Presiden Poland, Lech Walesa bagi meningkatkan program pertukaran budaya dan akademik antara kedua-dua negara.

''UUM sangat berbesar hati dan berbangga dengan kerjasama ini dan percaya penganjuran konsert piano malam ini membuktikan hubungan baik UUM dengan Kedutaan Poland,'' katanya.

Mohamed Mustafa berkata, konsert itu juga membuktikan hubungan erat antara kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan kerjasama akademik serta budaya kedua-dua negara sentiasa terpelihara.

Sementara itu, Dr. Jelonek berkata, Kedutaan Republik Poland di Malaysia berhasrat memperkenalkan tradisi dan budaya masyarakat negara mereka.

"Saya berharap penonton terhibur dengan persembahan Lech Napierala, seorang pemain piano yang masih muda dan berbakat besar," katanya.

Tambahnya, konsert tersebut adalah salah satu siri penjelajahan persembahan Lech Napierala di Asia termasuk di Singapura, Filipina dan China.

Dalam persembahan itu, rata-rata tetamu terpegun dengan persembahan Lech Napierala yang mempersembahkan keasyikan muzik tradisi rakyat Poland, Marzukas yang menjadi keunikan budaya negara tersebut.

Napierala mempersembahkan muzik klasik daripada komposer terkenal negara berkenaan, Frederic Chopin (1810-1849), Karol Szymanowski (1882-1937) dan Roman Maciejewski (1910-1998) bagi menghiburkan tetamu antarabangsa dan tempatan.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...