Thursday, March 08, 2012

Wacana kepimpinan gilap bakat mahasiswa


Sebahagian penuntut 12 institusi pengajian tinggi awam menyertai wacana kepimpinan sempena Program Interaksi Belia Siswa Johor 2012 di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 6 Mac - Bagi mempersiapkan golongan mahasiswa menjadi modal insan berilmu dan mempunyai bakat kepimpinan yang baik, Gerakan Belia 4B Johor mengambil inisiatif menganjurkan program wacana kepimpinan, baru-baru ini.

Salah satu aktiviti sempena Program Interaksi Belia Siswa Johor 2012 itu berjaya menarik penyertaan 200 penuntut 12 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

Pengerusi Gerakan Belia 4B negeri, Syahrin Md. Jamaludin berkata, program wacana kepimpinan dibahagikan kepada empat bahagian iaitu tiga wacana membabitkan pembentang secara individu, manakala satu forum yang melibatkan ahli panel.

"Keempat-empat sesi berkenaan diwujudkan bagi membincang pelbagai topik seperti kerjaya, integrasi kaum dan isu-isu semasa.

"Lanjutan daripada wacana berkenaan, semua peserta terlibat perlu mempamerkan kemahiran mereka dalam berhujah untuk slot Debat Kedai Kopi yang diadakan pada sebelah petang," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Syahrin, wacana berkenaan juga sebagai salah satu wadah untuk memberi pendedahan kepada golongan mahasiswa mengenai pelbagai ilmu ditambah dengan perkongsian pengalaman oleh pembentang.

Beliau berkata, Debat Kedai Kopi pula membantu mereka supaya lebih yakin untuk berucap di hadapan khalayak ramai dan menangani sesuatu isu dengan cara yang lebih berhemah tanpa perlu melibatkan emosi.

"Tujuan utama kedua-dua aktiviti tersebut bagi menggilap bakat kepimpinan yang ada dalam diri mereka, selain mendedahkan golongan mahasiswa kepada pelbagai isu semasa dan kupasan menarik mengenainya," katanya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...