Tuesday, March 13, 2012

Yayasan Pahang Belanja RM678 Juta Bangun Pendidikan 600,000 Pelajar

Adnan Yaakob memakai beg sekolah kepada kepada seorang pelajar sambil diperhatikan Liow Tiong Lai pada majlis menyampaikan beg dan pakaian sekolah di Bentong, kelmarin.

BENTONG 10 Mac - Yayasan Pahang (YP) membelanjakan RM678 juta bagi menjayakan program pembangunan pendidikan yang memberi manfaat kepada 600,000 pelajar di negeri ini sejak ditubuhkan pada 1983.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, perbelanjaan itu meliputi RM331 juta untuk pinjaman kepada 30,000 pelajar serta RM201 juta biasiswa kepada 170,000 pelajar.

Baki RM142 juta lagi, kata beliau, dibelanjakan bagi melaksanakan program modal insan, kebajikan dan sosial kepada 389,000 penduduk negeri itu.

"Sejak ditubuhkan YP hanya membelanja kira-kira RM1.5 juta setahun dan meningkat kepada RM22 juta pada 1999 dan 12 tahun kemudian perbelanjaan meningkat berkali ganda hingga kini mencecah RM192 juta setahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah pakaian dan beg sekolah kepada 1,605 pelajar sekolah kebangsaan, agama dan sekolah jenis kebangsaan Cina serta Tamil di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Dataran Simpang Pelangai dekat sini petang semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menurut Adnan, semua sumbangan itu diperoleh YP daripada hasil ladang kelapa sawit miliknya seluas 20,000 hektar.

Tambah beliau, sebelum ini, YP bergantung kepada hasil balak dan dana yang disuntik oleh kerajaan negeri sebanyak RM11 juta setahun.

Bagaimanapun, kata Adnan, YP memberhentikan penebangan kayu balak kerana bimbang kehabisan hasil hutan manakala kerajaan negeri pula memberhentikan dana kepada agensi itu sejak enam tahun lalu.

"Selain ladang sedia ada, YP akan membangunkan 35,000 hektar lagi tanah miliknya dengan kelapa sawit bagi memastikan ia mempunyai dana yang mencukupi untuk menyalurkan bantuan berkaitan pendidikan pada masa akan datang," katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus memberi bantuan, pinjaman dan biasiswa kepada para pelajar dan penduduk miskin negeri ini tanpa mengira kaum dan fahaman politik.

Tahun ini sahaja, katanya, YP memperuntukkan RM192 juta bagi program pendidikan yang membabitkan peruntukan RM70 juta untuk pinjaman dan biasiswa, manakala bakinya untuk pelbagai kegiatan lain seperti pembangunan modal insan, sosial dan kebajikan.


- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...