Friday, March 09, 2012

Yayasan Sime Darby Sedia Biasiswa RM22.6 Juta, Permohonan Dibuka 16 Mac - 20 April 2012

Pelajar cemerlang akademik, OKU layak mohon mulai 16 Mac

YAYASAN Sime Darby (YSD) memperuntukkan sejumlah RM22.6 juta kepada 380 penerima biasiswa dan dermasiswa untuk rakyat negara ini yang berkelayakan serta negara lain yang meliputi operasi konglomerat itu.

Ahli Majlis Pentadbirannya, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin berkata, permohonan kemudahan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dibuka mulai 16 Mac hingga 20 April ini.



Katanya, permohonan dan keterangan lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang YSD di alamat http://www.yayasansimedarby.com, selain menghadiri program jelajah yayasan itu di beberapa lokasi terpilih di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, separuh daripada biasiswa yang ditawarkan tahun ini adalah menerusi program dermasiswa YSD dengan kelayakan penerima adalah memiliki potensi akademik, daripada keluarga berpendapatan rendah iaitu di bawah RM2,500 sebulan dan dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU). 

“Calon berjaya akan mengikuti pengajian peringkat diploma dan ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan pemberian biasiswa dan dermasiswa berkenaan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif (CEO) YSD, Yatela Zainal Abidin dan Ahli Majlis Pentadbiran yayasan itu, Datin Paduka Zaitoon Othman. 
Dr Wan Mohd Zahid berkata, sejak ditubuhkan pada 1982, YSD yang memfokus kepada individu dengan pencapaian akademik cemerlang sudah menganugerahkan 1,434 biasiswa bernilai RM142 juta. 

Katanya, sehingga kini pemberian biasiswa di bawah yayasan itu sudah diperluaskan ke beberapa negara termasuk Indonesia, China, Hong Kong, Singapura dan Liberia.

Beliau berkata, yayasan itu turut menawarkan biasiswa kepada 60 pelajar vokasional menerusi Program Pengayaan Kemahiran, selain pengajian peringkat diploma di IPT miliknya iaitu Akademi Perladangan Sime Darby, Kolej Sains Kesihatan dan Kejururawatan Sime Darby dan Akademi Perindustrian Sime Darby.

“Tahun ini juga kami memberi biasiswa menerusi program baru kepada 10 rakyat negara ini untuk mengikuti pengajian bahasa Mandarin di universiti terpilih di China,” katanya.

Dalam pada itu, penerima biasiswa YSD, Nur Syafikah Abdullah, 21, yang mengikuti pengajian peringkat diploma di Kolej Sains Kesihatan dan Kejururawatan Sime Darby, Shah Alam, mengakui amat bertuah menerima biasiswa daripada yayasan itu.

“Saya menerima elaun bulanan RM550 dan tiada masalah membuat latihan amali kerana Sime Darby memiliki hospital sendiri di Subang Jaya.” kata pelajar semester lima yang kini mengikuti latihan amali selama enam bulan di hospital milik konglomerat itu.


- BH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...