Saturday, June 16, 2012

Dewan SM Kian Kok, Likas Terbakar

  NR       Saturday, June 16, 2012

KOTA KINABALU: Hampir 1,400 murid termasuk guru-guru cemas seketika apabila sebuah dewan auditorium yang terletak di tingkat empat Sekolah Menengah (SM) Kian Kok, Likas, terbakar dalam satu insiden di sini kelmarin.

Kejadian berlaku antara jam 10 hingga 10.30 pagi itu difahamkan berpunca daripada masalah lintar pintas di dewan berkenaan yang terletak di bangunan Teknologi Maklumat (IT) terbabit.

Difahamkan, beberapa kerusi plastik, alat penghawa dingin dan permaidaini musnah terbakar dalam kejadian itu.

Pengetua sekolah, Lim Chian, ketika ditemui berkata kejadian berlaku pada waktu rehat di mana dewan berkenaan benar-benar terletak di bangunan tingkat atas kantin sekolah.

Keadaan itu katanya telah mengakibatkan situasi panik namun beliau menjelaskan tiada kemalangan jiwa berlaku dan pihak sekolah berjaya menyelamatkan beberapa barangan seperti alat permainan muzik yang terletak berhampiran dewan berkenaan.

“Ketika kejadian saya berada di kawasan bilik guru dan terperanjat apabila ramai pelajar menjerit dewan yang terletak di tingkat empat kami terbakar.

“Menyedari kejadian itu, saya kemudiannya menghubungi pihak bomba dan selang beberapa minit sahaja tiga jentera bomba tiba.

“Saya amat bersyukur dengan kepantasan bomba memadamkan api serta mengawal situasi dan sehubungan itu kami pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak bomba kerana berjaya menyelamatkan keadaan,” katanya.

Lim turut berkata tiada kemalangan jiwa berlaku di sekolah yang menempatkan kira-kira 1,350 pelajar dengan sesi belajar tamat jam 3.30 petang itu.

Sementara itu, seorang pekerja kantin dikenali sebagai Imelda, 25, ketika ditemui berkata pada waktu kejadian dia bersama pekerja-pekerja yang lain sedang sibuk menyediakan makanan kepada para pelajar.

“Kejadian berlaku ketika waktu rehat dan tidak semena-mena ramai pelajar menjerit ada kebakaran berlaku di tingkat atas.

“Dewan terbabit berada benar-benar di atas kantin ini dan kami telah diarahkan mencari kawasan selamat.

“Mujurlah kami semua selamat dan saya difahamkan hanya dewan terbabit sahaja terjejas dalam kebakaran itu,” katanya.

Ketua Balai Bomba Sembulan, Ariffin Hj. Arris berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10.24 pagi.

“Tiga jentera dengan kekuatan 22 anggota digegaskan ke SM Kian Kok ini, api berjaya dikawal kira-kira jam 10.46 pagi dan dipadam sepenuhnya kira-kira jam 11.11 pagi.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

- UB
logoblog

Thanks for reading Dewan SM Kian Kok, Likas Terbakar

Previous
« Prev Post

No comments: