Saturday, June 30, 2012

Kawasan ILP Miri Masih Catat IPU Tidak Sihat

  NR       Saturday, June 30, 2012

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Kawasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak menjadi satu-satunya kawasan yang berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 105, sehingga 11 pagi ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata 21 kawasan berada pada tahap baik daripada 51 stesen pengawasan kualiti udara JAS, manakala 29 kawasan lagi berada pada tahap sederhana.

"Keluasan kebakaran hutan belukar di kawasan tanah gambut di Permai Jaya berdekatan ILP Miri di Kuala Baram, Sarawak, menyebabkan kemerosotan kualiti udara setempat dan peningkatan bacaan IPU sehingga ke tahap sangat tidak sihat beberapa hari lalu.

"Pihak JAS masih menyiasat punca kebakaran dan peningkatan IPU ini, manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan bantuan agensi-agensi kerajaan negeri Sarawak serta syarikat tempatan sedang bertungkus lumus memastikan kebakaran tidak merebak dan terkawal," kata JAS dalam satu kenyataan Khamis.

Kerajaan Sarawak juga telah menggerakkan Jawatankuasa Bencana Bahagian Miri melibatkan agensi-agensi tempatan berkaitan bagi membendung kebakaran daripada merebak selain membantu kerja-kerja pemadaman api dan mengawal kebakaran.

-- BERNAMA
logoblog

Thanks for reading Kawasan ILP Miri Masih Catat IPU Tidak Sihat

Previous
« Prev Post

No comments: