Wednesday, June 27, 2012

Kekurangan Guru Sukar Diatasi

  NR       Wednesday, June 27, 2012
KUALA LUMPUR 18 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kerajaan masih gagal menyelesaikan sepenuhnya masalah kekurangan guru di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, masalah kekurangan guru merupakan isu yang sering dibangkitkan di Kementerian Pelajaran, antaranya disebabkan persaraan guru dan masalah penempatan guru terutama arahan pertukaran.

Menurut beliau, pihak kementerian terpaksa mengambil kira pelbagai perkara termasuk faktor sosial yang dibangkitkan oleh guru selain menyentuh isu kemanusiaan.

"Kalau guru itu perempuan dan sudah berkahwin ditukarkan, dia akan mengambil faktor sosial seperti rumah tangga, suami dan sebagainya.

"Soal-soal sebegini timbul menyebabkan kita tidak dapat memenuhi tuntutan sebenar, jadi isu kemanusiaan berbangkit menyebabkan kita ada masalah melaksanakannya secara lebih cekap," katanya ketika menjawab soalan tambahan Tan Seng Giaw (Kepong-DAP) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, guru yang terbabit dalam perpindahan juga mengemukakan rayuan yang turut melibatkan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk orang politik.

"Bila kita keluar arahan pindah, ada rayuan, kadang-kadang orang politik beri surat sokongan agar tidak memindahkan mereka kerana khidmat mereka diperlukan," katanya.

Beliau berkata, isu kekurangan guru tidak boleh diatasi sepenuhnya namun, kementerian akan mencari jalan penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan masalah tersebut di peringkat organisasi dan pentadbiran.

"Saya percaya melalui kajian yang dibuat ketika ini, kita akan melihat balik soal organisasi di peringkat pentadbiran pendidikan agar ia dapat diselesaikan," ujar beliau.

- Utusan, 18 Jun

Berita berkaitan: Kekurangan Guru Akan Diatasi

logoblog

Thanks for reading Kekurangan Guru Sukar Diatasi

Previous
« Prev Post

No comments: