Monday, June 11, 2012

Kerajaan Timbang Sedia Kolam Renang di kem PLKN

  NR       Monday, June 11, 2012
PORT DICKSON: Kerajaan sedang menimbang untuk menyediakan kolam renang di setiap kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara mulai tahun depan berikutan tidak ada lagi elemen air di kolam semulajadi.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, dari segi keluasan, kedalaman, spesifikasi dan sebagainya akan ditentukan dan akan dimaklumkan kepada semua pengusaha kem PLKN di seluruh negara.

"Untuk jadual pematuhan bermula tahun hadapan, tidak ada lagi elemen air kolam semulajadi tetapi kerajaan sedang memikirkan untuk menyediakan kolam renang," katanya selepas melakukan lawatan kerja di kem PLKN PDS Resort, Pasir Panjang dekat sini, hari ini.

Katanya, ketika ini hanya ada satu sahaja kem PLKN yang mempunyai kolam renang iaitu di Sibu, Sarawak. 

Ia bermakna setiap kem perlu mempunyai kolam renang tetapi jika tidak ada kemudahan itu pun mereka perlu memastikan bahawa latihan air itu boleh menggunakan spesifikasi yang ditentukan oleh kerajaan. 

Sebelum ini, katanya, hasil daripada keputusan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak ada lagi elemen latihan air kepada pelatih PLKN, apa yang dilakukan bukan sahaja elemen kolam semulajadi itu ditiadakan, tetapi apa-apa saja aktiviti fizikal yang membabitkan air juga dikeluarkan daripada elemen tersebut dan ia ditukar kepada pasir. 

"Langkah ini diambil memandangkan air di kolam semulajadi dilihat tidak sesuai kerana risiko air ini tidak berkesudahan di mana Kementerian Kesihatan memutuskan jika sekali saja terdapat bakteria kencing tikus di dalam mana-mana air di kem tersebut, maka kem itu tidak boleh dipakai seumur hidup. Bermakna kita tidak mahu mengambil risiko itu," katanya. 
Semua jenis latihan air di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara digantung susulan kematian seorang pelatih di Kem PLKN Terkok, Sungai Siput, Perak pada 12 Mac lalu dipercayai akibat jangkitan virus kencing tikus. 

Abdul Hadi berkata, ketika ini terdapat lebih 24,000 pelatih bagi kumpulan 2 2012 sedang mengikuti latihan PLKN di 79 buah kem di seluruh negara lebih sebulan lalu. 

Katanya, mereka selesai menjalani latihan dalam modul pembangunan karektor bermakna mereka bersedia untuk meneruskan modul yang lebih mencabar dan sekarang ini pelatih sedang mengikuti modul kenegaraan manakala selepas ia akan diteruskan dengan modul khidmat komuniti dan fizikal. - BERNAMA

logoblog

Thanks for reading Kerajaan Timbang Sedia Kolam Renang di kem PLKN

Previous
« Prev Post

No comments: