Monday, June 11, 2012

Pelajar Malaysia Masuk Universiti Michigan Barat Dijangka Meningkat

  NR       Monday, June 11, 2012

NEW YORK  - Malaysia dijangka menjadi antara sumber utama kemasukan pelajar ke Universiti Michigan Barat (WMU) di Kalamazoo pada 2012/13.
   
Naib Canselor bagi kemasukan pelajar ke WMU, Keith Hearit berkata, trend Malaysia membekalkan pelajar yang ramai akan berterusan pada tahun 2012/13.
   
WMU meramalkan jumlah kemasukan pelajar Malaysia akan meningkat selepas perjanjian artikulasi ditandatangani dengan institusi-institusi pengajian di Malaysia.
   
Presiden WMU, John M. Dunn merancang melawat Malaysia bulan ini untuk meraikan ulang tahun ke-25 perkongsian dengan sebuah kolej swasta yang telah membawa ratusan pelajar Malaysia ke WMU.
   
Semasa kunjungan itu, Dunn merancang menandatangani beberapa perjanjian artikulasi dengan universiti swasta Malaysia yang lain. Beliau juga akan melawat Kalamazoo Cafe di Kuala Lumpur yang dibuka pada 2010 dan dimulakan empat alumni  WMU.
   
Sebaik dibuka pada 1987, Kolej Sunway (di Petaling Jaya) bekerjasama dengan WMU untuk melancar program berkembar, dengan seorang anggota fakulti WMU ditempatkan di Kolej Sunway untuk mengajar pelajar Malaysia selama dua tahun sebelum mereka tiba di WMU untuk menghabiskan tempoh dua tahun lagi pengajian bagi mendapat ijazah Sarjana Muda.
   
Para pegawai WMU berkata program pengajian tersebut telah membantu Malaysia muncul sebagai pusat pelajaran di Asia Tenggara.
   
Menurut WMU, menjelang 2011 Kolej Sunway telah menjadi universiti yang menawarkan pengajian di peringkat Sarjana Muda.
   
Pogram berkembar yang dicipta WMU telah berubah kepada persetujuan artikulasi umum yang memberi peluang pembelajaran di luar negara, pertukaran fakulti dan inisiatif kajian.
   
Anggota Fakulti WMU, Profesor Kewangan Christopher Korth kini sedang menghabiskan program mengajar selama tiga bulan di Sunway.
  
“Hubungan kami yang panjang dan kukuh dengan Sunway serta kesannya pada pengajian tinggi global merupakan kebanggaan Universiti Michigan Barat," kata Dunn.
   
"Pertalian kami dengan Malaysia bermula sejak akhir 1960-an dan 1970-an, bila sebahagian besar pelajar Malaysia yang ditaja biasiswa kerjaan Malaysia belajar di WMU... kami kini mempunyai masyarakat alumni di Malaysia yang berjumlah kira-kira 2,500 orang.
   
"Kami akan merayakan acara bermakna ini dengan dua majlis perhimpuran besar alumni dan beberapa siri mesyuarat dengan rakan-rakan kami di Malaysia yang menjadikan hubungan ini sebagai realiti."
   
Di bawah program Sunway, 93 pelajar Malaysia mendaftar di WMU pada musim luruh yang lalu.
   
Wakil WMU memberitahu Bernama bahawa model yang dipanggil '2+2' membentuk asas dalam memberi pelajaran kepada ribuan pelajar Malaysia di lebih dari 60 buah kolej dan universiti di Amerika Syarikat selain di universiti di United Kingdom, Australia dan New Zealand.
  
Program berkembar mula menawarkan peluang kepada pelajar Malaysia pada pertengahan 1980-an bila Malaysia mendapati sukar menyediakan tempat di enam universiti tempatannya dan menawarkan biasiswa untuk mereka belajar di luar negara.
   
Kerajaan Malaysia meminta kerjasama dengan pihak swasta untuk menubuhkan kolej swasta bagi membantu pelajar mendapat ijazah tanpa perlu membayar fi pengajian yang tinggi.
   
Menyahut seruan ini, Presiden Kumpulan SungeiWay, seorang konglomerat yang terlibat dalam bidang pembinaan dan hartanah, menjalin perkongsian dengan WMU memulakan 'Program 2+2' yang bertujuan memberi peluang pendidikan tinggi kepada pelajar Malaysia dengan fi pengajian yang mampu dibayar.
   
Sumber WMU memaklumkan bahawa langkah itu telah dapat menjimatkan kira-kira 40 peratus daripada sepatutnya apabila seseorang perlu membayar untuk belajar selama empat tahun di universiti di luar negara.
   
Kolej Sunway kemudianya terus melangkah sebagai kolej swasta terbesar di Malaysia dengan menjadikan WMU sebagai destinasi utama menghantar pelajarnya.

Kolej Sunway berkembang sebagai Universiti Sunway yang kini menawarkan ijazah di peringkat Sarjana Muda.
   
Pengasas Kumpulan SungeiWay, Jeffrey Cheah yang kadang-kala dipanggil sebagai 'Andrew Carnegie Malaysia' dianugerahi Ijazah Doktor Kehomrmat dari WMU pada 1994 di atas komitmennya mempromosi pengajian tinggi di Malaysia, menurut sumber WMU.
   
WMU berkata sesetengah bekas pelajarnya kini menjawat jawatan tinggi di dalam industri, kerajaan, akademik dan profesion lain.
   
Prof Datuk Mohd Tajudin Ninggal merupakan bekas pelajar WMU yang memegang jawatan tinggi di dalam bidang akademik.
   
Selain merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni di   Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor, beliau juga merupakan profesor kaunseling psikologi di UTM.
   
WMU turut mengadakan program berkembar yang sama di Hong Kong, Indonesia, India, Pakistan, Bolivia dan Kenya. - Bernama
logoblog

Thanks for reading Pelajar Malaysia Masuk Universiti Michigan Barat Dijangka Meningkat

Previous
« Prev Post

No comments: