Friday, June 15, 2012

Pagar Rosak Punca Gejala Pelajar Ponteng Sekolah Selepas Waktu Rehat

  NR       Friday, June 15, 2012
Penduduk kesal melihat pagar sekolah yang rosak dijadikan peluang pelajar ponteng.

KUALA SELANGOR – Gejala ponteng sekolah yang sering dilaporkan berlaku di sekitar daerah ini rata-ratanya berpunca daripada struktur pagar yang rosak sekali gus memudahkan pelajar menyelinap keluar ketika waktu rehat.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa sekolah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang mendapati, pagar hijau yang menyembah bumi di belakang sekolah terbabit didakwa menjadi laluan pintas pelajar ponteng.

Dakwaan itu turut dipersetujui penduduk di Taman Purnama yang bersebelahan sekolah terbabit berikutan sering terlihat beberapa pelajar ponteng pada waktu rehat dan selepas musim peperiksaan.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Purnama, Zulkifli Sudin berkata, keadaan pagar yang rosak dijadikan satu peluang buat pelajar sekolah untuk ponteng tanpa disedari guru.

“Saya turut menerima aduan daripada penduduk yang memaklumkan sering melihat kelibat remaja berpakaian sekolah keluar daripada laluan pagar terbabit namun tiada kuasa untuk menegurnya.

“Saya berpendapat pagar yang rosak ini perlu dibaiki segera memandangkan segelintir pelajar mengambil peluang untuk melarikan diri dan terjebak dengan perkara yang kurang sihat.

“Sudah pasti, remaja ini akan menghabiskan masa di kafe siber berdekatan untuk bermain permainan video online dan terikut dengan budaya tidak sihat sekali gus menghancurkan masa depan.

“Pemantauan pihak sekolah amat penting bagi menyelesaikan gejala ponteng ini dan kalau boleh, ada guru disiplin atau pengawal keselamatan menjaga laluan ini sementara menunggu kerja penambahbaikan,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Rantau Panjang, Bibit Mardzuki berkata, pihaknya mengakui ada rungutan daripada guru yang melaporkan kehilangan pelajar mereka.

“Untuk makluman, pagar terbabit sering kali dibaiki pihak sekolah setiap tahun, namun akibat vandalisme individu tidak bertanggungjawab, lokasi pagar lebih rendah daripada kawasan penempatan penduduk itu begitu mudah dipijak.

“Pihak sekolah tidak berpeluk tubuh sahaja melihat perkara ini dan memohon untuk membina pagar batu bernilai RM100,000 sebagai langkah penyelesaian, namun sehingga kini peruntukan masih belum ada,” katanya.

- SH
logoblog

Thanks for reading Pagar Rosak Punca Gejala Pelajar Ponteng Sekolah Selepas Waktu Rehat

Previous
« Prev Post

No comments: