Friday, June 29, 2012

Pendidikan Teknikal Sangat Penting

  NR       Friday, June 29, 2012

SIBU: Keperluan semasa tenaga dalam bidang teknikal memperlihatkan kepada masyarakat tentang perlunya perubahan minda dan sikap supaya dapat menonjolkan lagi kerelevanan pendidikan teknikal.

Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata, landskap pendidikan kian berubah dan tuntutan kemajuan negara adalah lebih kepada pengajian teknikal dan kemahiran walaupun sumbangan pengajian kemanusiaan dan lain-lain penting juga.

“Oleh itu, ibu bapa dan pelajar sekolah digesa agar mengikis perspektif negatif terhadap pendidikan teknikal dan kemahiran yang dikatakan kurang penting dalam memberi sumbangan kepada pembangunan negara.

“Sebaliknya, pendidikan teknikal dan kemahiran telah membuka peluang yang cerah kepada masa depan generasi muda yang menjadi peneraju kepada pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui (SCORE),” jelasnya.

Wong berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang Yayasan Sarawak Bahagian Sibu 2012 yang berlangsung di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Elizabeth, semalam.

Hadir sama ialah Pengarah Yayasan Sarawak Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Residen Bahagian Sibu Dr Zufar Yadi Bredan Abdullah, Pegawai Pelajaran Daerah Sibu Wong Chong Kung dan Pengetua SMK St Elizabeth Clement Chieng Sui Ung.

Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan dan galakan kepada pembangunan pendidikan teknikal bagi memastikan pembangunan dan kemajuan negeri sebagai negeri maju dapat dicapai.

“Kejayaan cemerlang hari ini menunjukkan bahawa mutu pendidikan di negeri ini telah mencapai satu tahap yang membanggakan.

“Inilah bukti usaha gigih dan bersungguh-sungguh serta komitmen tinggi kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk menjadikan bidang pendidikan sebagai agenda utama dalam pembangunan negeri,” ujarnya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat itu berkata, program penyampaian hadiah cemerlang anjuran Yayasan Sarawak adalah salah satu usaha kerajaan memotivasikan pelajar-pelajar supaya mereka gigih dan menguasai ilmu dan kemahiran.

“Kita memerlukan sumber manusia yang berkemahiran bagi memenuhi keperluan kita untuk menjadikan negeri kita Sarawak sebagai negeri industri.

“Selaras dengan pembangunan SCORE, Sarawak memerlukan tenaga mahir dalam pelbagai bidang dan dalam pelbagai peringkat,” katanya.

Pada tahun ini, seramai 1,023 pelajar dari bahagian Sibu layak menerima hadiah cemerlang Yayasan Sarawak daripada jumlah keseluruhan 6,328 pelajar di seluruh negeri.

Pelajar-pelajar cemerlang dianugerahkan sijil penghargaan dan sagu hati dalam bentuk Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional bernilai RM100 untuk UPSR, RM200 untuk PMR, RM500 untuk SPM dan RM700 untuk STPM.

- UB
logoblog

Thanks for reading Pendidikan Teknikal Sangat Penting

Previous
« Prev Post

No comments: