Tuesday, June 12, 2012

UMT, WWF anjur sambutan Hari Penyu Sedunia sabtu ini

  NR       Tuesday, June 12, 2012

KUALA TERENGGANU - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia akan menganjurkan sambutan Hari Penyu Sedunia, Sabtu ini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang usaha melindungi haiwan yang diancam kepupusan itu.

Program bertemakan 'Telur Penyu: Beli Jangan Makan Pun Tidak' itu akan diadakan di Bazaar Warisan, di sini, bermula pukul 8.30 pagi hingga 5 petang. 

Ketua Projek Unit Penyelidikan Penyu Laut (SEATRU) UMT, Prof Madya Dr Juanita Joseph berharap kempen itu dapat meningkatkan kesedaran orang ramai dan penjual telur penyu supaya berhenti daripada menjual, membeli atau memakan telur penyu.

"UMT juga berharap agar kerajaan negeri akan menyokong usaha memulihara penyu khususnya di Terengganu dengan menggubal undang-undang mengharamkan penjualan telur penyu di negeri ini," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sempena program itu, antaranya konvoi berbasikal dari UMT ke Pasar Payang dengan beberapa 'pit-stop' bagi mengedarkan risalah berkaitan penyu, ceramah mengenai Islam dan Pemuliharaan Penyu serta kuiz.

"Orang ramai digalak mengambil bahagian dalam program-program yang akan diadakan itu," katanya. - Bernama
logoblog

Thanks for reading UMT, WWF anjur sambutan Hari Penyu Sedunia sabtu ini

Previous
« Prev Post

No comments: