Sunday, July 15, 2012

60 Anggota Keselamatan Berkhidmat di 21 Sekolah Tuntut Tunggakan Elaun

  NR       Sunday, July 15, 2012

Lebih 30 anggota keselamatan dari 21 sekolah sekitar daerah Kerian meluahkan ketidakpuashatian berhubung kelewatan pembayaran elaun dan tunggakan KWSP oleh majikan.

KERIAN - Seramai 62 anggota keselamatan yang berkhidmat di 21 sekolah menengah termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian, di sini merayu supaya tunggakan elaun sejak dua bulan lalu dibayar segera.

Lebih mengecewakan, kumpulan anggota keselamatan terbabit yang bertugas di Zon 2 (daerah Kerian) sejak tahun 2009 turut mendapati caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dibayar sejak awal tahun 2012  walaupun pemotongan dibuat pada setiap bulan.

Jurucakap kumpulan itu, Mohd Noor Ismail, 47, berkata, masalah pembayaran elaun mula dialami sejak bulan Januari 2012 apabila elaun bulan itu hanya diterima pada hujung bulan Februari setelah mereka dibenarkan mengambil gaji pendahuluan sebanyak RM500 setiap orang.

Menurutnya, masalah itu berterusan setiap bulan sehingga bulan Mei apabila pembayaran elaun untuk bulan berkenaan masih tidak diterima sehingga kini.

“Mengenai KWSP pula, kami mendapati caruman kami tidak dibayar majikan pada awal bulan operasi, tunggakan dua bulan pada 2011 dan tidak dibayar langsung bagi sepanjang tahun ini.

“Selain itu, kami turut hairan dengan sikap majikan yang memotong gaji kami mengikut hari bagi setiap cuti tahunan dan cuti sakit yang diambil walaupun cuti tahunan diberi lapan hari setahun, manakala cuti sakit diambil di klinik  panel,” katanya pada sidang media di sebuah restoran, di sini, semalam.

Mohd Noor berkata, berikutan itu, pihaknya mengemukakan aduan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertarikh 26 Jun, bagaimanapun surat jawapan balas kementerian itu bertarikh 29 Jun menjelaskan mereka sudah menemui  wakil syarikat majikan dan dimaklumkan pembayaran gaji serta bayaran lebih masa (OT) dibayar seperti biasa.

“Apabila perkara ini dirujuk kepada pengurusan syarikat, mereka memberi alasan masih tidak menerima pembayaran invois bagi bulan Mei daripada PPD Kerian melalui memo dalaman syarikat dan berjanji akan membayar gaji kami  sebaik sahaja tuntutan invois diterima.

Tetapi soalnya bila? “Lebih mengejutkan, saya turut membuat aduan sama ke Bahagian Khidmat Pelanggan Kementerian Pelajaran Malaysia melalui panggilan telefon bertarikh 27 Jun lalu dan jawapan diberikan mereka adalah PPD  Kerian sudah menyalurkan peruntukan bagi tujuan pembayaran gaji kepada majikan terlibat," katanya.

Katanya, diharap perkara itu diselesaikan segera kerana semua kakitangan terlibat merupakan golongan susah. Seorang lagi anggota keselamatan, Abdul Wahab Abdul Rahman, 53, berkata, pekerja bukan mahu menimbulkan masalah  tetapi hanya menuntut hak mereka.

“Kami semua ada anak isteri dan inilah sumber pendapatan kami. Tindakan majikan benar-benar menyusahkan kami,” katanya.

Bagi Saad Zakaria, 56, pula, ramai pekerja mencuba pelbagai cara untuk menuntut bayaran masing-masing sama ada elaun penuh atau separuh tetapi tidak dilayan. Menurutnya, sehingga kini, pengurus syarikat masih berdolak-dalik  dan tidak memberikan jawapan meyakinkan untuk menjelaskan tunggakan tersebut.

Sementara itu, usaha Sinar Harian menghubungi pengurusan syarikat pengawal keselamatan yang berpusat di Kuala Lumpur itu tidak berhasil apabila lebih sepuluh panggilan telefon tidak berjawab. 


- SH
logoblog

Thanks for reading 60 Anggota Keselamatan Berkhidmat di 21 Sekolah Tuntut Tunggakan Elaun

Previous
« Prev Post

No comments: