Monday, July 16, 2012

> 70 Pelajar Sekolah Menengah Agama Keracunan Makanan

  NR       Monday, July 16, 2012

SEREMBAN - Lebih 70 pelajar di sebuah sekolah menengah agama di sini mengalami keracunan makanan dengan 15 terpaksa mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) hari ini.

Bernama difahamkan kejadian sejak tengah malam tadi itu membabitkan pelajar tingkatan tiga dan lima yang tinggal di asrama sekolah berkenaan selepas menikmati hidangan di dewan makan asrama.

Pegawai Perhubungan Awam HTSJ Lathifah Abdul Hamid berkata 15 pelajar terbabit mendapatkan rawatan di hospital berkenaan kira-kira pukul 9.15 pagi sebelum dibenar pulang.

"Daripada maklumat yang kita terima seramai 72 pelajar di sekolah berkenaan mengalami sakit perut dan cirit-birit disyaki akibat keracunan makanan.

Semua pelajar terbabit telah diberikan rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata HTSJ telah menghantar sepasukan pegawai perubatan ke sekolah berkenaan bagi menyiasat kejadian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Ismail bin Taib berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu dan tindakan akan diambil jika didapati pengusaha makanan tersebut bersalah.

Beliau turut mengingatkan pengusaha makanan dan pengusaha kantin sekolah di negeri ini agar menitikberatkan kebersihan makanan bagi mengelak kejadian keracunan makanan.

Dalam pada itu, beberapa pelajar terbabit ketika ditemui Bernama berkata mereka mengalami sakit perut serta pening sejak malam tadi selepas menikmati hidangan di dewan makan.

Nor Syahira Mohd Shah, 16, berkata dia mula mengalami sakit perut sejak malam tadi sehingga menyebabkannya muntah dan tidak boleh tidur.

"Saya mula perasan perut saya kurang selesa selepas solat Isyak, tapi saya ingatkan pada masa itu hanya sakit perut biasa sahaja.

"Tapi sehingga lewat malam perut saya semakin sakit dan saya mula cirit birit dan muntah. Menjelang pagi saya dapati rakan sebilik saya juga turut mengalami keadaan sama sebelum saya melaporkan kepada warden asrama," katanya.

Seorang lagi pelajar, Atiqah Mohd Rafi, 13, pula berkata dia turut mengalami simptom yang sama dengan rakan-rakannya malam tadi dan terpaksa berulang-alik ke tandas selain mengalami muntah-muntah.

Bagaimanapun pihak sekolah ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen. - Bernama
logoblog

Thanks for reading > 70 Pelajar Sekolah Menengah Agama Keracunan Makanan

Previous
« Prev Post

No comments: