Thursday, July 05, 2012

Ada Pemaju Sorok Status Projek Pembinaan Sekolah

  NR       Thursday, July 05, 2012

BERMASALAH: Wee ketika meninjau pembinaan SK Menuang yang terbengkalai semalam, turut kelihatan Dr Rahman (kiri) dan Hasbi (kanan).


LIMBANG: Kementerian Pelajaran mengenal pasti ada pemaju yang mengemukakan laporan tidak tepat mengenai perkembangan projek pembinaan sekolah bagi menyembunyikan status sebenar sekolah-sekolah yang dikategorikan ‘sakit’.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata kebanyaan laporan yang diterima kementeriaannya tidak sama dengan perkembangan projek daripada pelbagai aspek.

Beliau berkata kementerian akan berusaha mencari jalan penyelesaian bagi memastikan sekolah-sekolah ‘sakit’ dapat disiapkan termasuk meninjau status tapak tanpa berpandukan kepada laporan.
“Ada pemaju yang mengemukakan laporan tidak benar mengenai perkembangan projek.

“Bila kita turun padang meninjau sendiri projek tersebut, kebanyakan maklumat adalah tidak tepat berbanding laporan yang dihantar kepada pihak kementerian melibatkan sekolah yang ‘sakit’,” katanya pada penyerahan bas Kementerian Pelajaran Malaysia kepada Pejabat Pelajaran Daerah Limbang semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Limbang Maria Hasman, wakil Pengarah Pelajaran Sarawak Wan Samsurli Wan Hasbi dan Pegawai Pelajaran Daerah Limbang Mohd Dzul Badzli Abdullah.

Wee berkata lagi kebanyakan laporan juga tidak menggambarkan keadaan sebenar di tapak pembinaan.

“Ada pemaju yang mengatakan projek kini dalam 90 peratus siap, tetapi apabila ditinjau di tapak pembinaan, amat menyedihkan apabila projek baharu bermula sekitar 60 peratus,” katanya.
Beliau berkata peluang sudah diberikan kepada pihak pemaju untuk menyiapkan projek berkenaan tetapi mereka tidak mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah.

“Jangan anggap apa yang mereka buat adalah betul. Kami sudah memberi peluang kepada mereka untuk menyiapkan projek tersebut termasuk memberi lanjutan tempoh masa.

Sementara itu ketika ditanya mengenai tindakan kementerian untuk menyenaraihitamkan pemaju, katanya pihaknya masih mencari jalan penyelesaian untuk menyiapkan projek berkenaan.

Dalam pada itu beliau turut memberi jaminan bahawa masalah hakisan tebing sungai di SK Tanjong  yang dihadapi sejak 2005 akan dibincangkan dengan Perdana Menteri termasuk membina sekolah baharu di kawasan yang lebih selamat.

Terdahulu Wee yakin kemudahan bas yang diberikan kerajaan (Kementerian Pelajaran) dapat memudahkan pihak sekolah untuk menganjurkan aktiviti di luar Limbang.

“Saya tahu kedudukan Limbang yang unik kerana diapit di tengah-tengah negara jiran Brunei.
“Dengan adanya bas ini, mereka dapat melintas sempadan dengan mudah dan tidak perlu membayar kepada syarikat swasta bagi tujuan pengangkutan,” katanya.
=
- UB
logoblog

Thanks for reading Ada Pemaju Sorok Status Projek Pembinaan Sekolah

Previous
« Prev Post

No comments: