Wednesday, July 04, 2012

Bajet 2012: Sarawak Dapat Peruntukan Terbesar RM125.8 Juta Untuk 553 Buah Projek Sekolah

  NR       Wednesday, July 04, 2012

BAKAM, 2 Julai – Sarawak mendapat peruntukan terbesar iaitu RM125.8 juta daripada RM900 juta di bawah Bajet 2012 untuk melaksanakan 553 buah projek di sekolah-sekolah seluruh negeri.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi memberitahu, kesemua projek yang dilaksanakan di bawah Pakej Rancangan Khas (PRK) itu meliputi kerja pembaikian, mengubah suai bangunan dan projek naik taraf dengan keutamaan sekolah yang mengalami kerosakan teruk.

“Projek ini akan bermula bulan ini dan dijangka siap penghujung tahun. Justeru kementerian mahu pengetua dan guru besar memberikan maklumat dan laporan mengenai bangunan dan keperluan sekolah masing-masing,” katanya semasa sidang media selepas meninjau projek membaik pulih bangunan SM Sains Miri hari ini.

Bagaimanapun, bagi bangunan yang memerlukan khidmat pakar perunding dan memerlukan perhatian serius, kementerian memberi tempoh agar projek tersebut dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun.

Dalam perkembangan lain, lebih banyak asrama desa akan dibina di sekolah pedalaman di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi mengatasi masalah keciciran pelajaran di kalangan murid-murid.

“Masalah keciciran paling banyak berlaku di kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak terutama di sekolah-sekolah luar bandar sama ada sekolah menengah ataupun rendah.”

“Mereka bukan tidak berminat untuk datang ke sekolah tetapi tiada kemudahan asrama. Lokasi sekolah yang jauh dari kediaman menyebabkan mereka tidak berminat turun ke sekolah,” ujar Dr. Puad.

Tambahnya, Sarawak kini mempunyai sebanyak 606 buah asrama desa di sekolah-sekolah luar bandarnya.

Hadir sama Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang, Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air merangkap Ahli Parlimen Miri Datuk Seri Peter Chin iaitu Dato’ Sebastian Ting, Pegawai Pelajaran Gabungan Miri, Rosnani Yunus.

- Miri Today
logoblog

Thanks for reading Bajet 2012: Sarawak Dapat Peruntukan Terbesar RM125.8 Juta Untuk 553 Buah Projek Sekolah

Previous
« Prev Post

No comments: