Wednesday, July 18, 2012

Ibu bapa beri pelbagai reaksi yang berbeza cadangan benar pelajar bawa telefon ke sekolah

  NR       Wednesday, July 18, 2012

SIBU: Cadangan membenarkan pelajar sekolah membawa telefon bimbit ke sekolah pada sesi prasekolah tahun depan mendapat respon yang berbeza daripada ibu bapa.

Utusan Borneo ketika melakukan tinjauan semalam difahamkan bahawa kebanyakan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah secara curi-curi.

Selain itu ada antara ibu bapa berpendapat jika cadangan tersebut diluluskan ia mungkin akan mengakibatkan masalah disiplin pelajar seperti kes kecurian, pergaduhan dan penyebaran bahan maklumat negatif serta lucah meningkat.

Tidak kurang pula ibu bapa berpendapat penggunaan telefon bimbit boleh mengganggu proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.

Paling menjadi persoalan ialah sejauh manakah para pelajar mematuhi syarat yang ditetapkan dan bagaimana pula pihak sekolah mengawal peraturan berkenaan.

Franky James Badar, 41, bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza dan menyokong cadangan membenarkan pelajar sekolah membawa telefon bimbit ke sekolah.

Katanya dengan adanya kebenaran tersebut, ini akan menjadikan penggunaan telefon bimbit di sekolah sebagai satu kemestian seperti penggunaan komputer.

Apatah lagi sistem aplikasi yang terdapat dalam telefon bimbit menurut mereka sama seperti yang digunakan di dalam komputer.

“Telefon bimbit bukanlah alat komunikasi yang baharu bagi pelajar sekolah. Bukan bermakna ia merupakan kehendak tetapi lebih kepada keperluan setiap individu.

“Cuma apa yang penting ialah baik buruk penggunaannya bergantung kepada individu itu sendiri,” ujar beliau.

Anthony Nuga, 40, ketika diajukan mengenai perkembangan tersebut memberitahu, telefon bimbit amat penting bagi tujuan pemantauan anak-anak.

Paling penting katanya, ketika berlaku kejadian kecemasan di mana ibu bapa boleh mengambil tindakan segera.

“Walaupun penggunaan telefon bimbit di sekolah lebih banyak mendatangkan kesan buruk daripada positif namun dalam sesetengah perkara, telefon bimbit amat diperlukan sebagai komunikasi penghubung,” katanya.

Kelmarin Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong telah dipetik sebagai berkata pelajar sekolah di seluruh negara mungkin dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah, pada sesi persekolahan tahun depan.

Perkara itu katanya, antara yang terkandung dalam Draf Peraturan Pendidikan Displin Murid 2012, yang kini di peringkat akhir, sebelum dibawa kepada pejabat Peguam Negara dan diluluskan.

“Sesuatu trend dilihat lebih realistik pada waktu sama perlu ada sekatan pengunaan supaya tak ganggu gugat perjalanan dalam kelas itu prinsip kita dapat pelawa pandangan semua pihak,” katanya.

Inisiatif itu jelas beliau, mengambil kira pandangan pihak berkepentingan iaitu ibu bapa, guru, pelajar serta pentadbiran sekolah.

Tambahnya, rasional penggunaan alat komunikasi di luar waktu kelas membabitkan faktor termasuk keperluan keselamatan murid dan persekitaran pembelajaran secara maya.

“Hukuman bagi murid yang melanggar disiplin peraturan baharu itu ditetapkan perlu menjalani aktiviti bersifat pendidikan termasuk khidmat masyarakat,” katanya.

- UB
logoblog

Thanks for reading Ibu bapa beri pelbagai reaksi yang berbeza cadangan benar pelajar bawa telefon ke sekolah

Previous
« Prev Post

No comments: