Wednesday, July 04, 2012

Ijazah USM Mempunyai Ciri-Ciri Keselamatan - Naib Canselor, Datuk Dr Omar Osman

  NR       Wednesday, July 04, 2012

GEORGE TOWN: Kertas ijazah Universiti Sains Malaysia (USM) mempunyai ciri-ciri keselamatan termasuk nombor siri dan tera air bagi menjamin ketulenannya, kata Naib Canselor USM Datuk Dr Omar Osman.

Beliau berkata, pada ijazah itu juga tertera logo serta nama naib canselor dan tandatangan pendaftar berbeza mengikut perkembangan semasa ijazah dikeluarkan, selain cop mohor universiti yang memiliki ciri keselamatan tersendiri.

Setiap graduan USM juga didaftar dalam data komputer dan data manual dikenali Buku Warta Konvokesyen Graduan, yang sehingga kini mempunyai 120,000 nama sejak konvokesyen pertama pada 1972, katanya kepada pemberita di sini semalam.

“Jika mana-mana pihak inginkan kepastian mengenai ijazah seseorang, mereka boleh menghubungi USM dengan memberikan nombor siri yang dicetak dalam ijazah itu, kita akan mengesahkan nama pemilik ijazah berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, adalah sukar bagi mana-mana individu yang bukan graduan USM untuk menipu.

Beliau berkata, USM memandang serius perbuatan jenayah yang cuba memburukkan imej universiti dengan penjualan ijazah palsu dan menyerahkan kes itu kepada polis untuk tindakan lanjut.

Kelmarin polis menahan tiga individu termasuk seorang bekas pelajar USM bagi membantu siasatan kes pemalsuan ijazah USM yang dijual menerusi Internet.

Ketiga-tiga mereka terdiri dari dua wanita dan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan dalam operasi khas polis di Kampar, Perak malam kelmarin.

Polis turut merampas beberapa peralatan komputer yang dipercayai diguna untuk menghasilkan ijazah palsu. — Bernama
logoblog

Thanks for reading Ijazah USM Mempunyai Ciri-Ciri Keselamatan - Naib Canselor, Datuk Dr Omar Osman

Previous
« Prev Post

No comments: