Thursday, July 05, 2012

Kerja Pembersihan Tanah Bagi Pembinaan Universiti Teknologi Sarawak Di Sibu Bermula

  NR       Thursday, July 05, 2012
SIBU, 4 Julai (Bernama) -- Kerja pembersihan tanah bagi pembinaan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) yang baru, berhampiran Stadium Tun Ahmad Zaidi di Jalan Lapangan Terbang Lama di sini telahpun bermula.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak Datuk Sri Wong Soon Koh berkata kerja pembinaan sebenar di tapak seluas 36 hektar itu akan dimulakan sebaik sahaja kerja pembersihan ini siap.

"Kami menjangkakan universiti ini akan mengambil kumpulan pertama sekitar 800 pelajar menjelang September tahun depan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Soon Koh berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersetujui penubuhan universiti itu, dijangka merasmikan upacara pecah tanah pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.

"UTS berkemungkinan menjadi satu-satunya universiti teknologi di negara ini yang mempunyai taman teknologinya sendiri. Kami sangat teruja dengan penubuhan UTS yang akan menjadi pusat inkubator berprestij kepada ahli teknologi dalam pelbagai disiplin, penyelidik dan usahawan teknologi di negara ini," katanya.

Beliau berkata universiti itu akan membekalkan tenaga kerja yang diperlukan untuk menjalankan pelbagai aktiviti dalam Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak dan Hab Halal Tanjung Manis.

Sementara itu, Soon Koh membidas pengerusi DAP negeri Wong Ho Leng kerana meragui keupayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membina universiti itu yang dijanjikan semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada 16 Mei, 2010 berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Robert Lau Hoi Chew.

"Saya sekali lagi mencabar Ho Leng supaya meletak jawatan sebagai pengerusi DAP negeri, Anggota Parlimen Sibu dan Adun Bukit Assek jika UTS menjadi kenyataan menjelang September tahun depan.

"Dengan sebab yang sama, saya akan melepaskan jawatan sebagai menteri negeri selain pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Sibu jika projek ini gagal dilaksanakan," katanya.

Soon Koh berkata Ho Leng tidak seharusnya mempolitikkan UTS bagi kepentingan politiknya memandangkan pendidikan merupakan isu yang amat penting kepada rakyat.

-- BERNAMA
logoblog

Thanks for reading Kerja Pembersihan Tanah Bagi Pembinaan Universiti Teknologi Sarawak Di Sibu Bermula

Previous
« Prev Post

No comments: