Tuesday, July 17, 2012

Pendidikan Aliran Cina Untuk Semua Kaum

  NR       Tuesday, July 17, 2012

RASMI: Jabu mengendalikan jengkaut ketika melakukan upacara pecah tanah bagi pembinaan Kompleks Serba Guna SJK Chung Hua Betong, semalam.

BETONG: Pendidikan aliran Cina, bukan sahaja untuk kaum Cina malah menjadi satu pilihan positif untuk Bumiputera dan kaum-kaum lain.

Ini membuktikan perpaduan yang kukuh telah terjalin di kalangan pelbagai kaum seterusnya pembangunan insan yang pelbagai diterima, yang mendorong pelbagai kaum menghantar anak-anak mereka menuntut di sekolah aliran Cina.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, kejayaan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Betong di bawah Jawatankuasa Lembaga Pengurusan Sekolah tersebut telah berjaya menaik taraf bangunan pentadbiran asal, yang berusia kira-kira 81 tahun dengan membina semula struktur asal kepada bangunan blok baharu adalah pemangkin kejayaan pendidikan di sini.

Katanya tanpa semangat kerjasama daripada golongan elit kaum-kaum Cina dan dibantu oleh pengurusan yang kukuh, mustahil kejayaan akan tercapai.

Namun apa yang pasti, tanpa dokongan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa menerapkan semangat perpaduan di kalangan masyarakat adalah sukar untuk rakyat dibangunkan dengan pemikiran dan minda yang positif untuk menerima kaum lain dalam satu institusi pendidikan seperti hari ini.

“Langkah ini adalah jalan terbaik untuk menjamin masa depan yang cemerlang dalam pendidikan dan usaha ini akan memberi kemajuan dalam pembangunan modal insan yang pastinya akan membawa kemajuan dalam pembangunan negara pada masa akan datang,” ujarnya.

Jabu berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Blok Pentadbiran Baharu, Pecah Tanah Kompleks Serba Guna SJK Chung Hua Betong dan Perasmian Blok Baharu Tabika Betong di sini semalam.

Tambah Jabu, kepercayaan rakyat di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa membela nasib rakyat memberi keyakinan untuk mereka meneruskan agenda negara yang membolehkan rakyat mengecapi kemajuan dan pembangunan negara di samping menyediakan kemudahan- kemudahan yang dapat dimanfaatkan bersama oleh rakyat.

“Dengan perancangan yang telah disediakan, kemajuan modal insan yang cemerlang bakal kita lihat merujuk kepada strategi yang dibuat di sekolah ini.

“Meskipun begitu, pembabitan pihak-pihak yang melaksanakannya harus dilihat sebagai perencana kejayaan tersebut.

“Kerajaan juga akan terus membantu menyediakan kemudahan untuk sekolah aliran Cina agar mereka tidak ketinggalan mengecapi kemajuan yang turut sama dibangunkan oleh golongan terbabit,” katanya.

Jabu juga mengumumkan pelbagai perancangan kemudahan rakyat yang bakal dibangunkan di Betong termasuk membina kolam renang bersaiz Olimpik, pembinaan Tebingan Sungai Layar, membangunkan kawasan rekreasi, membesarkan jalan raya dari simpang Betong dan kajian membangunkan penternakan ikan tapah di Hulu Sungai Tisak, Betong.

Beliau turut menggesa agar kaum Cina dan golongan elit yang ada di Betong mahupun dari luar agar menarik pelabur untuk melebarkan jaringan perniagaan di Betong.

Pada masa yang sama beliau mengumumkan peruntukan berjumlah RM30,000 yang masing-masing RM12,500 daripada beliau sendiri, jumlah yang sama daripada Dato Sri Douglas Uggah Embas dan RM5,000 daripada Robert Lawson Chuat sebagai dana untuk pembangunan sekolah terbabit.

Terdahulu, dengan pendekatan sebagai pendidikan yang wajib dipelajari oleh setiap golongan yang bermula daripada pendidikan asas tadika, SJK Chung Hua Betong mengorak langkah dengan memberi penekanan untuk mengukuhkan pembelajaran melalui Jawatankuasa Lembaga Pengurus Sekolah membina blok baharu Tadika Betong dalam kawasan sekolah terbabit.

Turut diusahakan ialah perancangan untuk membina Kompleks Serba Guna sekolah berkenaan yang akan dimulakan pada penghujung Julai ini.

Selain itu, ahli Lembaga Sekolah turut berusaha mengumpul dana bagi membina blok kedua sekolah terbabit yang dalam perancangan dengan nilai RM1.7 juta.

Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas, Menteri Muda Kebajikan Sarawak Robert Lawson Chuat dan Residen Bahagian Betong Datu Romie Sigan Daniel.

- UB, 16 Julai
logoblog

Thanks for reading Pendidikan Aliran Cina Untuk Semua Kaum

Previous
« Prev Post

No comments: