Wednesday, July 18, 2012

Perhalusi Cadangan Benar Pelajar Bawa Telefon Bimbit, Pastikan Tidak Gangu P&P di Kelas

  NR       Wednesday, July 18, 2012


KUCHING: Kementerian Pelajaran dan pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan guru perlu mengambil langkah terbaik berikutan cadangan untuk membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah mulai tahun depan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah yang turut mengalu-alukan cadangan itu berkata, ia perlu mempertimbangkan pelbagai perspektif sebelum dilaksanakan.

“Kita tidak boleh melawan arus, bahawa kini telefon bimbit ini merupakan satu keperluan khasnya dari segi keselamatan kepada anak-anak sekolah yang memudahkan ibu bapa menghubungi mereka.

“Namun satu lagi perspektif yang kita perlu lihat juga adalah bagaimana kita mahu memastikan telefon bimbit itu nanti tidak akan mengganggu proses pembelajaran di dalam kelas, itu yang menjadi persoalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Ketiga Siri Memajukan Pekerja Sosial anjuran Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Noriah Ahmad, Dekan Fakulti Sains Sosial Dr Spencer Empading, Presiden Persatuan Pekerja Sosial Malaysia Teoh Ai Hua dan Pengerusi Pengelola yang juga Pensyarah Fakulti Sains Sosial Gill Raja.

Menurut Fatimah, beliau tidak menafikan cadangan berkenaan satu langkah wajar bagaimanapun pada masa yang sama tidak mengetepikan kepentingan proses pembelajaran di dalam kelas.

“Kini apa yang penting kementerian, ibu bapa dan guru serta pihak berkuasa lain perlu menangani atau mencari langkah terbaik bagi memastikan serta menjamin telefon bimbit ini nanti tidak mendatangkan gangguan malah akses kepada komunikasi antara anak dan ibu bapa,” tegasnya.

Isnin lepas, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong mengumumkan bahawa pelajar akan dibenarkan membawa telefon bimbit dan peralatan teknologi maklumat ke sekolah mulai tahun depan selepas peraturan dan perundangan Akta Pendidikan 1996 dipinda.

Wee berkata, perubahan seperti itu perlu dilakukan bagi menggalakkan pendidik dan pelajar untuk mengguna pakai teknologi maklumat abad Ke-21.

- UB
logoblog

Thanks for reading Perhalusi Cadangan Benar Pelajar Bawa Telefon Bimbit, Pastikan Tidak Gangu P&P di Kelas

Previous
« Prev Post

No comments: