Wednesday, July 18, 2012

PIBG SK Bintang, Miri Kurang Setuju Langkah Kerajaan Benar Pelajar Bawa Telefon

  NR       Wednesday, July 18, 2012
MIRI: Langkah kerajaan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit di sekolah mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai khasnya ibu bapa dan guru.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bintang Abdul Manaf Ismawi kurang bersetuju dengan langkah sedemikian kerana ia mungkin akan menjejaskan tumpuan pelajar dalam pelajaran.

“Kita sememangnya tidak bersetuju dengan langkah sedemikian kerana ia akan menyebabkan pelajar hilang tumpuan semasa belajar kerana leka melayan sistem pesanan ringkas (SMS), Facebook dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau memberitahu, pelajar  terdahulu mampu berjaya dalam pelajaran kerana tidak terganggu dengan sistem komunikasi luar seterusnya memberikan mereka peluang untuk fokus sepenuhnya dalam pelajaran.

“Kita tidak menentang polisi kerajaan namun jika langkah berkenaan diteruskan, pelajar dicadangkan menggunakan telefon bimbit di luar kelas atau selepas tamat sesi persekolahan,” katanya.

Beliau memberitahu, bagi ibu bapa yang mampu, mereka tidak mempunyai masalah untuk membekalkan telefon bimbit kepada anak-anak sebaliknya ia akan mendatangkan masalah kepada ibu bapa yang miskin atau daif.

“Kemungkinan anak-anak golongan miskin akan memaksa ibu bapa mereka membeli telefon bimbit kerana akan timbul kekeliruan sama ada langkah sedemikian diwajibkan atau sebaliknya,” katanya.
Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak, Rosey Yunus pula sebaliknya memberitahu langkah sedemikian ada kebaikan dan keburukannya namun kerajaan mempunyai sebab tertentu untuk melaksanakannya.

Beliau berkata guru-guru harus mengawasi atau melarang pelajar menggunakan telefon bimbit semasa sesi pembelajaran sedang berlangsung kerana bimbang mereka hilang tumpuan.
“Guru-guru harus memastikan setiap pelajar yang memiliki telefon bimbit mematikan alat komunikasi itu semasa berada dalam kelas dan apabila tamat pelajaran, mereka dibenar menggunakan ia semula,” katanya.

Beliau melihat ada rasionalnya kerajaan memperkenalkan langkah sedemikian membabitkan beberapa faktor termasuk keperluan keselamatan murid dan persekitaran pembelajaran secara maya.

“Ia bagi memastikan ibu bapa mengenal pasti kedudukan anak-anak mereka sama ada di sekolah atau di luar sekolah selain mengelakkan kes-kes jenayah seperti kes penculikan,” katanya.

Dalam masa sama, para guru-guru juga boleh menghubungi ibu bapa pelajar secara terus jika berlaku hal-hal kecemasan melibatkan anak-anak kerana tidak semua guru menyimpan nombor telefon ibu bapa pelajar.

“Kita yakin bahawa kebanyakan pelajar memiliki nombor telefon bimbit ibu bapa mereka dan guru-guru boleh menghubungi ibu bapa pelajar jika berlaku kecemasan atau pelajar mereka ponteng sekolah atau sebagainya,” jelasnya.

Dalam laporan berita sebuah televisyen swasta semalam, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata sekolah di seluruh negara kemungkinan dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah, pada sesi persekolahan tahun depan.

Perkara itu katanya antara yang terkandung dalam Draf Peraturan Pendidikan Displin Murid 2012, yang kini di peringkat akhir, sebelum dibawa kepada pejabat Peguam Negara dan diluluskan.

logoblog

Thanks for reading PIBG SK Bintang, Miri Kurang Setuju Langkah Kerajaan Benar Pelajar Bawa Telefon

Previous
« Prev Post

No comments: