Thursday, July 05, 2012

Surat Cadangan Bina Universiti Meragukan

  NR       Thursday, July 05, 2012

BALIK PULAU, 4 Julai – Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa menghantar surat meragukan kepada pemilik tanah berhubung cadangan pembinaan sebuah universiti awam di Kampung Genting di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad berkata, surat yang dihantar oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bertarikh 29 Jun lalu itu menyatakan tanah mereka akan diambil bagi memberi laluan kepada pembinaan universiti awam antarabangsa, iaitu Asian Women Leadership University (AWLU).

“Status universiti awam yang terkandung dalam surat itu meragukan kerana ketika bertemu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat Balik Pulau awal tahun ini, beliau tidak pernah memaklumkan mengenai perkara ini.

“Semakan saya dengan Kementerian Pengajian Tinggi pula mendapati tidak ada sebarang kelulusan pernah diberikan untuk membina universiti itu di sini kecuali Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dalam perancangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu hadir memberi sokongan kepada kira-kira 50 pemilik tanah yang mengadakan demonstrasi membantah pembinaan universiti tersebut.

Demonstrasi itu berlangsung dalam keadaan aman namun agak beremosi apabila ada kalangan penduduk menghamburkan kemarahan terhadap kerajaan negeri yang didakwa cuba ‘menghilangkan’ kampung berkenaan yang telah wujud lebih 50 tahun lalu.

Difahamkan, sebanyak 12 lot tanah milik orang Melayu dan Cina serta lima lot tanah kepunyaan syarikat swasta dengan keluasan keseluruhan kira-kira 64.2 hektar terlibat dengan projek itu.

Mengulas lanjut, Muhammad Farid menjelaskan, beliau tidak faham mengapa kerajaan negeri begitu berminat untuk menjayakan projek tersebut di kawasan berkenaan.

“Mengapa tanah di sini yang harus dikorbankan? Lagipun saya rasa ia bukan universiti awam tetapi swasta, jadi carilah tanah lain seperti di Seberang Perai.

“Saya harap kerajaan negeri mempertimbangkan semula perkara itu kerana penduduk telah membantah sejak dua tahun lalu termasuk di depan Dewan Undangan Negeri,” ujarnya.

- Utusan Malaysia
logoblog

Thanks for reading Surat Cadangan Bina Universiti Meragukan

Previous
« Prev Post

No comments: