Sunday, July 15, 2012

Tangki Air SMK Paka Pecah, Penghuni Asrama Terjejas

  NR       Sunday, July 15, 2012

Keadaan tangki air pecah yang terletak di atas menara setinggi kira-kira 10 meter.

PAKA - “Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan, seketika kemudian air keluar dari tangki sehingga melimpah di sekitar pagar berdekatan asrama sekolah.

Demikian kata Mohd Redzuan Zamri, 31, saksi kejadian tangki air pecah di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, tangki air Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paka yang terletak di atas menara setinggi kira-kira 10 meter itu pecah, menyebabkan air takungannya mencurah keluar sehingga kawasan berdekatan digenangi air.

Pagar asrama sepanjang kira-kira 10 meter juga turut runtuh, selain bumbung sebuah bangunan berdekatan mengalami kerosakan teruk terkena air yang jatuh dari tangki air terbabit.

Ketika kejadian, terdapat hampir 80 pelajar perempuan mendiami asrama tiga tingkat yang terletak kira-kira 50 meter dari menara menempatkan tangki air berkenaan, selain hampir 40 pelajar lelaki yang difahamkan sedang bersiap untuk menunaikan solat Jumaat.

Menceritakan detik sebelum kejadian itu, Redzuan yang juga pengawal keselamatan di sekolah berkenaan berkata, ketika kejadian, dia sedang berada di pondok pengawal, beberapa meter dari menara tangki air terbabit.

Menurutnya, sebaik mendengar bunyi letupan, dia terus bergegas keluar untuk meninjau apa yang berlaku sebelum melihat air mencurah-curah keluar dari tangki yang pecah itu.

“Mula-mula saya terkejut juga, ingat apa yang meletup.

Rupa-rupanya tangki air pecah, nasib baik tiada pelajar yang cedera,” katanya.

Usaha Sinar Harian untuk mendapat ulasan pihak pengurusan sekolah bagaimanapun gagal apabila pengetua sekolah berkenaan tidak menjawab panggilan yang dibuat.

Kejadian itu merupakan tragedi runtuhan yang pertama sejak sekolah berkenaan beroperasi lebih lima tahun lalu.

Akibat kejadian itu, sebahagian besar penghuni asrama lelaki dan perempuan juga difahamkan terpaksa pulang ke rumah masing-masing kerana menghadapi masalah gangguan air.

- SH
logoblog

Thanks for reading Tangki Air SMK Paka Pecah, Penghuni Asrama Terjejas

Previous
« Prev Post

No comments: