Thursday, August 02, 2012

20,000 Penjawat Awam di Sarawak Terima Bonus Aidilfitri


KUCHING: Kira-kira 20,000 penjawat awam di negeri ini akan menerima bonus sempena Hari Raya Aidilfitri sebagaimana yang diperolehi penjawat awam persekutuan.

Setiausaha Kerajaan Nege-ri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Ghani berkata, jumlah bonus yang diterima oleh penjawat awam negeri adalah sama dengan rakan mereka di peringkat persekutuan.

Beliau berkata kakitangan perkhidmatan awam negeri akan dibayar bonus setengah bulan atau sekurang-kurangnya RM500 sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Kerajaan negeri telah meluluskan untuk membayar bonus kepada penjawat awam negeri sama seperti kerajaan persekutuan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama penjawat awam negeri dan persekutuan di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata bayaran bonus Hari Raya Aidilfitri itu diseragamkan kepada semua perkhidmatan awam.

Morshidi memberitahu bahawa pesara juga akan menerima bayaran khas sebanyak RM500.

“Pembayaran bonus dijadualkan pada 9 Ogos ini serentak dengan peringkat persekutuan dengan pembayaran minimum RM500, “ katanya.

Turut hadir Setiausaha Persekutuan Datuk Mohd Yahaya Basimin serta kira-kira 300 orang tetamu lain.

Morshidi menarik perhatian bahawa kira-kira 20,000 penjawat awam negeri akan mendapat faedah daripada pembayaran bonus itu.

“Saya berharap kalangan kakitangan awam negeri dapat menggunakan sebaik-baiknya habuan bonus itu untuk persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Pada 25 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kakitangan awam akan dibayar bonus setengah bulan gaji dengan minimum sebanyak RM500 pada 9 Ogos ini.

- UB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...