Wednesday, August 08, 2012

Budak Berusia 2 Tahun Mati Ditindih Ahli Keluarga Dipercayai Ada Kaitan Ajaran Karut


Inilah rumah di Taman Bukit Minyak, Bukit Mertajam tempat seorang budak mati ditindih oleh ahli keluarganya dalam upacara pemujaan

BUKIT MERTAJAM – Kematian kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang didakwa menjadi korban upacara pemujaan keluarganya di Taman Bukit Minyak di sini pada Ahad lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan ajaran karut yang diamalkan oleh keluarga mangsa.

Satu sumber berkata, polis mengesyaki lapan individu yang ditahan termasuk ibu bapa kanak-kanak itu terpengaruh dengan ajaran karut yang dipercayai sedang berkembang di negeri ini dan mempunyai ramai pengikut.

Kesemua yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pula didakwa kerap berkelakuan aneh seperti mereka sering bercakap sendirian dan mulut berkumat-kumit seperti membacakan sesuatu.

Lapan yang direman termasuk seorang amah Indonesia ditahan di dua buah lokap.

Sumber itu memberitahu, ibu kanak-kanak malang itu yang sarat mengandung anak kedua dan bapanya seolah-olah tiada perasaan sedih selepas mengetahui kematian anaknya.

Difahamkan upacara pemujaan itu dilakukan ekoran ibu mangsa didakwa hidup tertekan selepas kematian bapanya sejak beberapa bulan lalu selepas mendakwa dia kerap diganggu makhluk asing.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Ab. Lah berkata, polis masih meneruskan siasatan dan sedang mengambil kenyataan kelapan-lapan suspek yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian Chuah Wan Xuan (gambar kecil).

Menurut beliau, siasatan setakat ini menjurus kepada mangsa disyaki menjadi korban pemujaan ajaran sesat yang diamalkan oleh kelapan-lapan suspek.

“Mangsa anak sulung pasangan berkenaan mati akibat kelemasan selepas dipercayai ditindih secara beramai-ramai,” kata beliau.

Katanya, mayat Wan Xuan dituntut bapa saudaranya di Hospital Seberang Jaya semalam selepas polis mendapat persetujuan daripada kedua-dua ibu bapanya yang membenarkan abang kandung si bapa menguruskan pengebumian kanak-kanak itu.

Kosmo! semalam melaporkan, seorang budak mati selepas ditindih lapan ahli keluarganya termasuk seorang pembantu rumah Indonesia ketika melakukan upacara pemujaan di dalam sebuah bilik di rumah dua tingkat di Taman Bukit Minyak.

Selain ibu bapa, pembantu rumah mangsa, turut terlibat dalam upacara itu ialah nenek, pak cik, mak cik dan dua orang sepupu mangsa.

- Kosmo

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...