Wednesday, August 08, 2012

Isu Asrama Unisel: Penuntut Diminta Mendaftar Masuk Pada 27 Ogos

SEBAHAGIAN daripada pelajar yang gagal mendaftar masuk ke asrama menunggu di Dewan Biru Unisel, Kuala Selangor semalam.

SHAH ALAM - Penuntut Universiti Selangor (Unisel) yang sepatutnya mendaftar masuk hari ini, diminta mendaftar masuk pada 27 Ogos berikutan timbulnya isu penempatan asrama penuntut universiti itu.

Tarikh baru pendaftaran masuk penuntut ke universiti milik kerajaan negeri Selangor itu diputusakan dalam satu mesyuarat semalam, kata Naib Canselor Unisel Prof Dr Anuar Ahmad.

Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, beliau berkata arahan itu antara lain dibuat bagi menunggu proses timbang tara berhubung isu tuntutan hutang antara Unisel, kerajaan Selangor dan Syarikat Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan kediaman penuntut di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

"Saya tidak boleh ulas lanjut kerana ia (proses timbang tara) sedang berjalan dan kami telah hantar surat kepada kerajaan Selangor hari ini supaya ia dipercepatkan. Surat pertama dihantar tiga bulan lepas bagi mengatasi isu ini.

"Isu tunggakan hutang dengan syarikat JNSB ini juga berlarutan selepas syarikat itu mengambil keputusan menyaman Unisel dan enggan memberikan kerjasama untuk proses penilaian yang mahu diadakan berhubung kos yang dikenakan kepada Unisel," katanya.
   
Ditanya adakah Unisel memberi jaminan penuntut boleh memasuki asrama mereka selepas mendaftar pada 27 Ogos ini, Anuar berkata perkara itu bergantung kepada proses timbang tara yang diadakan dengan Juta Niaga.

Beliau berkata Unisel juga sedang dalam proses permohonan injuksi bagi menghalang syarikat JNSB daripada tidak membenarkan penuntut universiti itu masuk ke asrama mereka.

Sementara itu, seorang penuntut yang enggan dikenali berkata tindakan Unisel yang menukar tarikh mendaftar secara mengejut menyusahkan mereka kerana ada antara penuntut yang telah sampai sejak semalam.

"Kami hanya dimaklumkan untuk daftar pada 27 Ogos dalam satu pekeliling yang dikeluarkan hari ini, sedangkan ada antara kami sudah sampai sejak semalam," katanya.

Semalam, beberapa penuntut Unisel berhadapan masalah mendapatkan tempat tinggal berikutan pengurusan kolej kediaman institusi itu didakwa enggan membenarkan mereka menduduki asrama masing-masing selepas mereka mendaftar masuk hari ini.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unisel Mohd Jeffri Abu Hassan berkata pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu secara rasmi oleh pengurusan Unisel dan hanya mendapat tahu secara lisan daripada beberapa pihak berkaitan.

Ditanya berhubung dakwaan potongan duit Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dilakukan oleh Unisel, beliau berkata ia adalah kesilapan teknikal dan hanya melibatkan jumlah penuntut yang kecil.

"Sehingga hari ini yang mengadu kepada saya hanya dua orang, saya sudahpun berjumpa dengan Bendahari dan jangan bimbang wang mereka akan dipulangkan dalam masa terdekat," katanya.

Mengulas mengenai bangunan perumahan yang dibeli oleh Unisel di Kota Puteri, Ijok, Anuar berkata ia digunakan sejak awal tahun ini bagi program 'fast track' pelajar Tahfiz menyambung pengajian mereka ke peringkat diploma.

Beliau berkata bangunan berkenaan turut digunakan untuk penginapan petugas Unisel.- Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...