Wednesday, August 22, 2012

Ketua Polis Daerah Bau Berharap Isu Dadah Libat Pelajar Sekolah Beransur Reda


BAU: Ketua Polis Daerah (KPD) Bau DSP Mohd Sabri Zainol berharap isu dadah khususnya melibatkan pelajar sekolah yang dimainkan sesetengah pihak akan beransur reda.

Beliau menyifatkan perkara itu tidak adil kerana aktiviti membabitkan dadah di daerah kecil itu tidak berleluasa jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain.

“Berdasarkan pengalaman saya ketika berkhidmat contohya di Semporna, Tawau, kalau dibandingkan dengan Bau, kes dadah memang tidak teruk kerana di sini tidak ada sarang tetap tetapi lokasinya sering berpindah-randah.

“Apabila belum ada sarang tetap, maknanya belum ada penagih tegar sekali gus membuktikan kes dadah di sini belum berleluasa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri pada Hari Raya pertama.

Menurutnya, tindakan pihak berkenaan tidak adil hanya kerana polis di daerah kecil itu tidak pernah mengumumkan sebarang aktiviti penangkapan berhubung kes dadah di dada akhbar.

Beliau turut memaklumkan, setakat ini hanya satu kes tangkapan membabitkan pelajar sekolah direkodkan.

“Kita memilih untuk tidak mengheboh-hebohkan kes sebegini kerana khuatir ia akan menjejaskan masa depan pelajar tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerjasama daripada semua masyarakat di Bau khususnya daripada ketua-ketua masyarakat.

“Sebab itu pada musim perayaan sebegini, saya mengambil peluang untuk menjemput ketua-ketua masyarakat termasuk penduduk sekitar untuk datang ke rumah agar dapat berinteraksi serta merapatkan lagi hubungan.

“Apabila hubungan baik terjalin, segala pertukaran maklumat akan berlaku dengan lebih mudah,” katanya.

- UB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...