Monday, August 13, 2012

Lagi Seramai 4,430 Pelajar Dikecualikan Bayar PTPTN


TEMERLOH: Seramai 4,430 orang lagi pelajar dikecualikan  daripada membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) baru-baru ini kerana mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf dengannya.

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamad Ismail Said berkata, pengecualian tersebut membabitkan peruntukan RM116.230 juta.

“Sehingga 30 Jun lepas, seramai 13,011 pelajar telah dikecualikan daripada membayar balik pinjaman kerana cemerlang dalam pelajaran membabitkan peruntukan sebanyak RM370.70 juta,” katanya kepada Bernama selepas majlis berbuka puasa bersama saudara baru Orang Asli di Kampung Penderas Kuala Krau kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, kira-kira 70 peratus pelajar membayar balik pinjaman berikutan beberapa pendekatan dilakukan PTPTN, antaranya bersedia bertolak ansur dan menerima bayaran sekurang-kurangnya RM50 sebulan atau menjadual semula bayaran balik pelajar yang bermasalah.

Katanya, pembukaan beberapa cawangan baharu PTPTN seperti di Pahang, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang turut membantu meningkatkan bayaran balik pinjaman tersebut kerana pelajar mudah berurusan berbanding sebelum ini di mana mereka hanya berurusan di ibu pejabat PTPTN sahaja.

“PTPTN menyasarkan akan membuka pejabat cawangan di setiap negeri menjelang akhir tahun ini bagi memudahkan pelajar berurusan, manakala pejabat cawangan PTPTN di Sabah dan Sarawak akan berpindah ke pejabat baharu tidak lama lagi,” kata Ismail.

Katanya, kesedaran pelajar untuk membayar balik pinjaman tersebut semakin tinggi, walaupun pembangkang menjalankan pelbagai tohmahan dan kempen untuk menghapuskan PTPTN.

Di ALOR SETAR, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata 1.99 juta pelajar mendapat manfaat PTPTN untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi sejak penubuhannya 14 tahun lepas.

Sebanyak RM44.62 bilion dikeluarkan iaitu RM23.78 bilion kepada 1,371,754 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan RM20.84 bilion untuk pelajar swasta (IPTS).

“Kerajaan tidak mahu pelajar menghadapi rintangan melanjutkan pengajian kerana mahu mereka mendapat pendidikan tinggi walaupun bayaran balik kurang memuaskan.

“Sekiranya pembangkang masih hendak kritik bahawa PTPTN bukan satu cadangan baik, pasti sebahagian besar pelajar yang tidak mampu terkandas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan waran wang pendahuluan pembiayaan kepada 964 pelajar dalam Parlimen Alor Setar yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian awam dan swasta (IPTA/IPTS) Sept ini.

Beliau berkata Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 50 peratus rakyatnya berpendidikan tinggi untuk menjadi negara maju pada tahun 2020.

Katanya sehingga Jun tahun ini sepatutnya 1.124 juta orang membayar balik pinjaman tetapi cuma 769,848 orang yang bayar balik pinjaman berjumlah RM3.37 bilion.

“Saya merayu pelajar-pelajar apabila tamat belajar dan mendapat pekerjaan membayar balik pinjaman. Jika tidak mahu bayar, belajar bersungguh-sungguh.

Lulus kelas pertama, kerajaan ubah pinjaman jadi biasiswa,” katanya.

Chor berkata dari 1.99 juta pelajar yang menerima peminjam, sepatutnya 1.124 juta orang bayar balik tetapi cuma 769,848 orang yang bayar balik pinjaman mereka berjumlah RM3.37 bilion sehingga Jun tahun ini.

Katanya, kerajaan akan berada dalam kesusahan sekiranya peminjam menjadi rakyat tidak bertanggungjawab dan enggan membayar balik kecuali mereka yang tidak berkemampuan tidak dipaksa.

Di BESUT, 3,029 pelajar dari seluruh daerah di Terengganu menerima wang pendahuluan pembiayaan (WPP) PTPTN untuk kemasukan ke IPTA, bermula September ini.

Penolong Pengurus PTPTN Cawangan Terengganu, Khatijah Wahab berkata ia membabitkan kos RM4.543 juta yang kini mula dibayar kepada mereka yang berjaya memperolehnya secara berperingkat-peringkat mengikut daerah.

“WPP diberi melalui waran CIMB bernilai RM1,500 yang mempunyai tempoh laku selama sebulan bermula 8 Ogos lalu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian WPP peringkat Parlimen Besut yang disempurnakan Anggota Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin.

Katanya, untuk daerah Besut, 597 pelajar menerimanya membabitkan kos RM895,500 dan permohonan baharu masih dibuka dan mereka yang ingin memohonnya boleh melayari www.ptptn.gov.my atau menghubungi 03-20804455.

Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis itu, Dr Abdullah meminta pelajar yang berjaya memasuki IPTA supaya menumpukan sepenuh masa mereka kepada mengejar ilmu supaya mendapat kelulusan yang cemerlang.

Menurutnya, setiap pelajar boleh cemerlang atas usaha mereka sendiri dan bukan berdasarkan universiti mana yang mereka diterima belajar. — Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...