Friday, August 17, 2012

Pandelela Terima Biasiswa Yayasan Tun Razak Biaya Lanjut Pelajaran di Universiti


PUTRAJAYA - Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg bersedia menghadapi tekanan sebagai selebriti baharu sukan tanah air khususnya bagi memenuhi harapan tinggi rakyat terhadap dirinya.

Menjadikan atlet terjun Britain Tom Daley sebagai inspirasinya, pemenang pingat gangsa Olimpik London itu, mahu mengamalkan sikap tenang dan ceria di luar masa latihan.

"Meskipun menjadi tumpuan media dan seluruh rakyat Britain ketika temasya Olimpik lepas, beliau (Tom Daley) tetap fokus pada latihan dan pertandingan selain sentiasa bersikap tenang terutamanya di luar waktu latihan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir ibu dan bapa Pandelela, Hartini Lamim dan Pamg Joheng serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Pada pertemuan selama 15 minit itu, Perdana Menteri menyampaikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan berjumlah RM100,000, unit Amanah Saham Wawasan RM200,000 selain hadiah peribadi beliau kepada gadis berketurunan Bidayuh itu.
   
Pandelela, 19, juga menerima biasiswa daripada Yayasan Tun Razak iaitu pembiayaan penuh melanjutkan pelajaran di mana-mana universiti di Malaysia dalam bidang pilihannya.

Pandelela, bagaimanapun berkata buat masa ini beliau belum memutuskan bidang pengajiannya kerana terlalu sibuk dengan latihan.

"Yang pasti saya jenis tidak suka Matematik Tambahan jadi kalau boleh saya akan mengambil jurusan yang tidak perlu belajar subjek itu," katanya dalam nada bergurau.

Pandelela turut berterima kasih kepada Perdana Menteri atas ganjaran yang diberikan dan berazam berlatih lebih gigih bagi mencapai kejayaan di Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

"Saya juga berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara yang banyak menolong serta Tun Ahmad Sarji (Abdul Hamid selaku Ketua Kontinjen Malaysia) yang sentiasa menyokong saya ketika di Olimpik London," katanya yang berhasrat membelikan hadiah istimewa untuk kedua ibubapanya daripada wang ganjaran berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Pandelela menyambut baik keputusan kerajaan menambah peruntukan bagi pembangunan sukan terjun termasuk melantik empat jurulatih baru serta menaik taraf Pusat Akuatik Nasional.

"Saya percaya dengan peruntukan itu sukan terjun akan menghasilkan lebih banyak kejayaan di kejohanan peringkat dunia selain dapat mengasah lebih ramai bakat baharu," katanya.- Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...