Thursday, August 09, 2012

Pelajar cemari kesucian Ramadan




PARIT BUNTAR (KERIAN) - Kawasan landasan kereta api yang terletak di belakang Jalan Maharaja, di sini bukan sahaja didakwa menjadi sarang pelajar sekolah menghidu gam dan minum minuman keras, malah turut disalah guna untuk aktiviti mencemarkan bulan Ramadan.

Seorang peniaga, Yong Wong Tiew, 55, berkata, sekumpulan pelajar akan datang untuk mengadakan sesi minum minuman keras dan menghidu gam di pekarangan tokong itu setiap hari pada sebelah petang dan lewat malam.

Lebih memburukkan keadaan, pihaknya pernah terserempak dengan sekumpulan pelajar lelaki yang membawa ‘masuk’ beberapa pelajar perempuan ke dalam ruang kosong di bawah landasan kereta api, dipercayai untuk melakukan aktiviti maksiat.

“Saya pernah menegur dan memberi amaran kepada mereka untuk meninggalkan tempat ini dengan membawa sekali barang-barang yang mereka bawa.

“Namun mereka tidak peduli, gelas dan tin gam termasuk beg plastik terus ditinggalkan di situ sehingga menjijikkan mata memandang,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian, di sini.

Wong Tiew berkata, keadaan bertambah buruk apabila sekumpulan remaja terbabit membaling botol arak ke dinding rumah kedai berhampiran selepas minum sehingga menyebabkan kaca botol itu bertaburan di atas lorong jalan belakang premis perniagaan itu.

Lebih mengecewakan, terdapat segelintir pelajar sekolah terlibat menconteng dinding premis perniagaan dengan perkataan tidak sepatutnya, sekali gus menjejaskan imej peniaga.

“Kehadiran segelintir remaja bermasalah itu menyebabkan kawasan lorong di belakang premis perniagaan kami kini jarang dilalui pelanggan kerana bimbang sesuatu buruk terjadi.

“Laporan kepada pihak berkuasa pernah dibuat dan polis ada mengadakan rondaan di kawasan itu, bagaimanapun kawasan itu masih menjadi tumpuan golongan remaja bermasalah dan saya berharap tindakan lebih tegas diambil terhadap mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Wee Keong Seng, 45, menegaskan pernah menemu bual beberapa pelajar sekolah terlibat dan dimaklumkan mereka turut menjadikan kawasan landasan kereta api di belakang premis kedai mereka sebagai lokasi ponteng sekolah.

“Saya fikir perkara ini perlu diberi perhatian serius kesemua pihak bertanggungjawab memandangkan kebanyakan pelajar sekolah yang merupakan tonggak kepimpinan negara pada masa hadapan,” katanya.

- SH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...