Tuesday, August 21, 2012

PM Akan Lancar Rangka Tindakan Kajian Semula Pendidikan Nasional Pada 11 September

PAGOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melancarkan rangka tindakan kajian semula Pendidikan Nasional pada 11 September ini di Kuala Lumpur, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Beliau berkata, rangka tindakan itu mengandungi pelbagai cadangan penting merangkumi semua aspek ke arah penambahbaikan sistem pendidikan negara. Katanya, selepas tiga bulan dilancarkan, rangka tindakan itu akan dipamerkan kepada umum untuk mendapat maklum balas daripada pihak yang berkaitan sebelum dirumuskan dan dibawa ke Kabinet sebelum akhir tahun ini. 

Pelaksanaan kajian semula itu akan dilakukan secara tiga gelombang bagi tempoh 13 tahun dengan gelombang pertama selama tiga tahun manakala kedua dan ketiga pula masing-masing lima tahun, katanya. 

"Semasa gelombang pertama, keutamaan akan diberi kepada bidang pendidikan yang mudah dilaksanakan dan memberi impak tanpa perubahan struktur dan kewangan yang besar," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di Kompleks Sri Pekembar di sini, hari ini. 

Turut hadir isteri beliau Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. 

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata sehingga tahun 2025, kerajaan berharap dapat menganjak kedudukan Malaysia sebagai antara negara yang terbaik dalam pendidikan di dunia. 

Beliau tidak menafikan terdapat harapan tinggi orang awam dan yang berkaitan terhadap sistem pendidikan yang perlu ditambah baik dan ditingkatkan sebagaimana yang diluahkan mereka melalui siri dailog di seluruh negara sebelum ini. 

Penambahbaikan itu antara lain akan menyentuh subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains serta bidang kuasa pejabat pelajaran daerah. 

Muhyiddin berkata subjek sastera Inggeris akan diperkenalkan semula sebagai satu daripada usaha meningkatkan sistem pendidikan negara. 

Beliau berkata, langkah itu dicadangkan oleh perdana menteri dan Kementerian Pelajaran menganggapnya munasabah untuk memudahkan penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar. 

Pelaksanaannya di peringkat sekolah menengah dan jadual waktunya akan diteliti mengikut kesesuaian, katanya. 

- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...