Thursday, August 09, 2012

PPKS, ICATS Miri Serah Papan Notis Kepada Dua Sekolah Angkat


MIRI: Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) Miri bersama International College of Advance Technology (ICATS) Miri baru-baru ini telah melaksanakan satu program tanggungjawab sosial korporat.

Dua sekolah telah dipilih untuk menjalankan program berkenaan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekenu dan SMK Suai.

Pada program itu, papan notis telah diberikan kepada setiap sekolah berkenaan untuk memastikan segala notis dapat dilekatkan dengan baik.

“Sumbangan ini adalah adalah salah satu usaha dari pihak kita supaya informasi dapat disebarkan dengan lancar kepada semua dan sebagai membimbing sekolah berkenaan yang juga di bawah program sekolah angkat kita,” kata Pengarah PPKS Miri, Khaninah Ariff.

Khaninah memberitahu bahawa sebanyak lima papan notis juga telah diberikan kepada lima sekolah di Miri di bawah program sama.

Ini katanya bagi mempromosikan latihan kemahiran kepada pelajar-pelajar setelah tamat persekolahan.

Sementara itu, beliau memberitahu bahawa pihak PPKS dan ICATS juga bakal mengadakan satu kem kemahiran dan juga sesi penerangan mengenai kerjaya di sekolah berkenaan.

Pengetua SMK Bekenu Ahmad Fauzi Yakub merupakan wakil penerima bagi SMK Bekenu manakala wakil penerima SMK Suai adalah Pegawai Kanan Pengurusan SMK Suai, Melin Juking.

- UB, 8 Ogos

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...