Saturday, September 08, 2012

3 Lelaki Pecah Masuk Tadika Berjaya Ditahan


BATU PAHAT – Tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk taman didikan kanak-kanak (tadika) di Senggarang, dekat sini, berjaya ditahan polis di rumah masing-masing pada 28 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh pengadu yang juga merupakan seorang guru di situ pada 24 Julai lalu.

Menurutnya, pengadu menyedari tadika tersebut dipecah masuk ketika tiba untuk membuka pintu tadika.

“Antara barang yang hilang televisyen LCD, satu set komputer dan sebuah pencetak, dipercayai hasil curi ini akan dijual oleh suspek untuk mendapatkan bekalan dadah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, hasil laporan yang diterima, pihaknya melakukan risikan dan berjaya menahan kesemua suspek yang berumur antara 19 hingga 25 tahun.

“Berdasarkan ujian air kencing, kesemuanya positif dadah dan salah seorang daripadanya mempunyai dua rekod kesalahan lampau,” katanya.

Katanya, hasil soal siasat tertuduh turut mengaku melakukan pecah rumah dan menjual hasil curi termasuklah televisyen LCD, manakala sebahagiannya telah dilupuskan bagi mengelakkan bukti dijumpai.

“Turut ditemui sebuah periuk nasi yang juga dicuri dan dipercayai akan dijual untuk mendapatkan dadah, selain sebuah basikal dan beberapa barang elektrik yang lain.

“Kes ini akan disiasat di bawah seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan mereka boleh dijatuhi hukuman penjara 14 tahun, selain boleh dikenakan denda dan sebatan.

“Kami pihak polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang memberikan maklumat selama ini, sehingga berjaya melakukan beberapa tangkapan sekali gus mengurangkan kes jenayah di daerah ini,” katanya.

- SH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...