Friday, September 07, 2012

7,000 pelajar sekolah menengah Selangor nikmati i-TR1M


SHAH ALAM - Seramai 7,000 pelajar dari 100 sekolah menengah di Selangor akan menikmati kemudahan tuisyen talian terus untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui program Interaktif-Tuisyen Rakyat 1Malaysia (i-TR1M).
   
Ini berikutan inisiatif Yayasan Guru Malaysia Bhd (YGMB) memperluaskan kemudahan tuisyen secara talian itu kepada pelajar sekolah menengah.
   
Pengetua atau penyelaras teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dari 100 sekolah berkenaan hadir pada perasmian perluasan i-TR1M yang disempurnakan Koordinator Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed di sini, hari ini.
   
Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata kemudahan tuisyen interaktif itu sebelum ini memberi kemudahan kepada 8,000 pelajar dari 107 sekolah rendah di Selangor dalam menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
   
"Setakat ini, sambutan menggalakkan," katanya pada majlis tersebut.
   
Program i-TR1M dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun lepas, dan Selangor dipilih melaksanakan projek rintis sebelum ia diperluas ke seluruh negara.
   
Alimuddin berkata melalui program itu, calon UPSR, PMR dan SPM menggunakan kaedah pembelajaran dan penilaian kendiri secara 'online' itu dari rumah, sekolah atau pusat komuniti yang membolehkan mereka mengoptimumkan penggunaan Netbook 1Malaysia.
   
Sementara itu, Mohd Zin berkata program rintis tuisyen secara dalam talian itu sesuai dilaksanakan di Selangor yang memiliki prasarana internet yang lebih lengkap. - Bernama, 6 Sept

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...