Saturday, September 08, 2012

Beribu Pelajar di China Dakwa Dipaksa Jalani Latihan Praktikal di Kilang iPhone 5

China – Beribu-ribu pelajar di timur China mendakwa mereka dipaksa menjalani latihan praktikal di kilang Foxconn selepas syarikat dari Taiwan itu didakwa gagal mencari pekerja untuk pengeluaran produk terbaru Apple iaitu iPhone 5.

Pelajar terbabit mendakwa, bagi tujuan itu, semester baru pengajian yang sepatutnya bermula telah ditunda.

Kebanyakan pelajar berkenaan adalah penuntut jurusan komputer di Institut Teknologi Huaiyin.

Mereka mendakwa dipaksa bekerja dalam bahagian pengeluaran sejak Khamis lalu dan dibayar sebanyak 1,550 yuan sebulan.

Penuntut berkenaan juga dipaksa bekerja enam hari seminggu untuk 12 jam setiap hari.

Pendedahan itu dibuat oleh pelajar terbabit menerusi laman web.

Menurut salah seorang pelajar yang menulis dalam laman web itu, yang hanya dikenali sebagai mengniuIQ84, wang yang diterima itu tidak mencukupi kerana mereka terpaksa membayar beratus-ratus ringgit untuk makanan dan tempat tinggal.

Jelas MengniuIQ84, pihak berkuasa didakwa mengarahkan institut pengajian tinggi itu supaya membantu Foxconn, namun kilang tersebut tidak mendapat kebenaran daripada ibu bapa pelajar terlebih dahulu.

Seorang lagi pelajar, Youyoyu pula memaklumkan, semua penuntut daripada jabatan Undang-undang, Bahasa Inggeris dan Pengurusan terpaksa bekerja di situ.

Manakala seorang lagi pelajar, Dalingzhuimengnan pula mendakwa Foxconn memerlukan 10,000 pekerja, namun penuntut terbabit mahu kembali meneruskan pengajian mereka.

Dalam pada itu, ketua sebuah badan bukan kerajaan NGO, Tianxiaging, Yu Fangqiang berkata, beliau bercadang membantu penuntut tersebut untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas sekolah terbabit.

Namun masalahnya, ada antara pelajar yang takut pihak insitut akan membalas dendam dan tidak membenarkan mereka tamat pengajian.

Sementara itu, biro pendidikan Huai’an berkata, program seumpama itu sering diadakan pada cuti musim persekolahan namun pelajar terbabit tidak mengetahui bahawa mereka terus diserapkan untuk sesi pengajian musim baru.

“Ia merupakan amalan biasa untuk menghantar pelajar melakukan latihan praktikal di syarikat dan kilang supaya pelajar dapat menambah pengetahuan sebelum memasuki pasaran kerja,’’ kata salah seorang jurucakapnya.

Sumber: Tech2

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...