Friday, September 07, 2012

Dua Pelajar Malaysia Maut Kemalangan Jalan Raya di Rusia



VLADIVOSTOK, Rusia - Dua pelajar Malaysia terbunuh dan lima yang lain cedera dalam kemalangan jalan raya di Rusia lewat malam tadi, demikian menurut duta besar Malaysia, Datuk Zainol Abidin Omar, hari ini.
   
Beliau berkata, pelajar itu dikenalpasti sebagai Hanisah Muhd Shah, pelajar tajaan Mara dari Dungun, Terengganu; dan Adzreen Binyati, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam dari Putrajaya.
   
Penuntut itu, kedua-duanya pelajar tahun lima dari Akademi Perubatan Negeri Nishny Novgorod, sedang dalam perjalanan menaiki sebuah van dengan lima rakan lain universiti itu dari lapangan terbang Moscow ke Vladimirskaya bila kemalangan berlaku, kata beliau.
   
Beliau berkata, pelajar itu baru saja pulang dari Malaysia selepas cuti Hari Raya untuk memulakan semester baru. 
   
Zainol Abidin berkata Hanisah mati di tempat kejadian sementara Adzreen dalam perjalanan ke hospital.

Beliau berkata van yang dinaiki pelajar itu berlanggar secara berdepan dengan sebuah van lain.   
    
Zainal Abidin berkata lima lagi pelajar itu kini dirawat di sebuah hospital di Vladimirskaya.  
    
Beliau mengenalpasti mereka sebagai Siti Nadiah Abdullah Sani, Nurul Amirah Mohd Nor, Nor Hidayah Jailuddin, Nur Liyana Kamarul Bahrin dan Siti Romeza Abdul Raza.
    
Ketika memberikan butir-butir kepada wartawan Malaysia yang meliputi sidang APEC 2012, Zainal Abidin berkata bantuan segera telah ditawarkan kepada pelajar berkenaan berikutan laporan daripada seorang daripada mereka mengenai kemalangan itu.   
    
"Segala bantuan akan diberikan kepada pelajar di hospital sementara persiapan sedang dibuat segera untuk membawa pulang mayat kedua-dua pelajar itu," kata beliau.

"Ini tragedi dahsyat dan yang pertama di sini," kata beliau.  
    
Beliau juga berkata keluarga semua pelajar berkenaan telah diberitahu mengenai kemalangan itu.
    
"Mereka begitu terkejut, kerana baru saja beberapa jam sebelumnya pelajar itu meninggalkan Kuala Lumpur," kata beliau.  - Bernama, 3 September 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...