Monday, September 17, 2012

KGBS Gesa Tempoh Pengajian Bagi GSTT Ikuti PPISMP Dikaji Semula


KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengkaji semula tempoh pengajian bagi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) mengikuti Program Pra-Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PPISMP) di seluruh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) mulai awal tahun ini.

Presidennya Ahmad Malie berkata KGBS mahu tempoh pengajian sedia ada iaitu selama lima tahun untuk GSTT yang tidak memiliki ijazah dipendekkan kepada tiga setengah tahun dengan mengambil kira pengalaman mereka berkhidmat sebagai guru.

Menurutnya tempoh pengajian sedia ada itu terlalu lama dan ia merupakan satu kerugian kerana kecemerlangan mereka terbantut kesan daripada proses penyerapan dalam perkhidmatan yang dilalui agak lama sama seperti dilalui pelatih-pelatih asas.

“KGBS mengucapkan terima kasih kepada KPM kerana telah berusaha menyelamatkan sebahagian daripada GSTT sebelum ini dengan mewujudkan program khas untuk menyerap mereka sebagai guru tetap dengan mengikuti pengajian PPISMP ambilan khas mulai awal tahun ini.

“Bagaimanapun KGBS menggesa agar KPM mengkaji semula tempoh pengajian bagi bekas GSTT yang mengikut PPISMP ambilan khas GSTT di seluruh IPGM di negara ini,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Setiausaha CUEPACS Negeri Sarawak itu juga menambah selain memiliki pengalaman mengajar dan kecemerlangan dipamerkan selama ini, kebanyakan GSTT dipilih mengikuti PPISMP merupakan pemegang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Diploma.

Berdasarkan justifikasi itu katanya, KGBS melihat cadangan itu ada kewajarannya dan menggesa KPM mempertimbangkannya dengan serius demi memantapkan lagi profesion perguruan pada masa hadapan yang mula melangkah ke era transformasi menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri baru-baru ini.

“Dalam hal ini KGBS telah menghantar memorandum berkaitan kepada kementerian untuk pertimbangan sewajarnya,” katanya.

- UB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...