Saturday, September 08, 2012

MARA Akan Biayai Bawa Pulang Jenazah Dua Pelajar Nahas Jalan Raya di Russia



KUALA LUMPUR 4 Sept. - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menanggung semua perbelanjaan bagi membawa pulang dua jenazah penuntut Malaysia yang terbunuh dalam kemalangan di wilayah Vladimirskaya dekat Moscow, Rusia, semalam.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kejadian itu cukup menyedihkan dan beliau mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa.

"Dua penuntut berkenaan adalah di bawah tajaan Mara dan kami akan menampung semua perbelanjaan pengurusan membawa jenazah balik ke Malaysia," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Forum Keusahawanan Antarabangsa Ke-11, di sini hari ini.

Dua penuntut yang meninggal dunia dalam kemalangan itu ialah Hanisah Muhd. Shah (gambar) dari Dungun, Terengganu dan Adzreen Dimyati dari Putrajaya yang dalam perjalanan balik ke Akademi Perubatan Negeri Nizhny Novgorod selepas bercuti di tanah air.

Adzreen meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala Hanisah maut di tempat kejadian.

Lima lagi pelajar Malaysia yang menaiki van bersama Adzreen dan Hanisah, cedera dan menerima rawatan di sebuah hospital di Vladimirskaya.

Mereka ialah Siti Nadiah Abdullah Sani, Nurul Amirah Mohd. Nor, Nor Hidayah Jailuddin, Nur Liyana Kamarul Bahrin dan Siti Romeza Abdul Raza.

- Utusan 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...