Friday, September 07, 2012

Pelajar Sekolah Agama Bikin Gempar



PARIT - Warga sebuah sekolah agama di sini gempar selepas salah seorang pelajarnya tiba-tiba menghilangkan diri selepas berkelakuan pelik kerana enggan berbuka puasa bersama rakan-rakan.

Kehilangan pelajar berkenaan, Muhammad Redhuan Ruslan, 13, itu disedari rakan dan penjaga sekolah berkenaan selepas solat Maghrib malam kelmarin.

Menurut rakan mangsa, Ahmad Sulaiman Md Shaari, 17, berkata, pada hari itu pelajar sekolah berkenaan berpuasa enam.

"Muhammad Redhuan menunjukkan kelakuan pelik apabila memberitahu tidak mahu berbuka puasa dan makan pada hari itu," katanya.

Bagaimanapun, mereka tidak mengesyaki sesuatu kerana selepas itu Muhammad Redhuan berkelakuan biasa sehinggalah mereka menyedari dia sudah tidak ada di sekolah.

"Sebelum itu juga, kami melihat dia mengira duit selain duduk termenung di atas katil dan tidak mengesyaki dia akan menghilangkan diri," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Tadbir Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Addin 9, Baharudin Abdul Rahman berkata, kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Ini adalah kali pertama kejadian seumpama ini berlaku kerana sebelum ini, jika ada pelajar-pelajar yang mengalami masalah mereka akan datang mengadu kepada kami dan kami akan memanggil ibu bapa untuk berbincang.

"Pelajar itu sudah belajar di sini selama sembilan bulan dan sepanjang tempoh itu dia tiada sebarang masalah," katanya.

Kehilangan pelajar itu akhir terungkai apabila dia ditemui di sebuah bendang kira-kira dua kilometer dari sekolah berkenaan.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Parit Amir Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan pelajar itu pada jam 10 pagi semalam.

"Kami tiba di tempat kejadian pada jam 10.16 pagi dan memulakan pencarian awal di tepi sungai iaitu di kawasan yang disyaki menjadi tempat mandi.

"Namun, didapati tidak terdapat jejak yang dipercayai mangsa telah hilang ke sungai," katanya yang melibatkan anggota seramai sembilan orang dan diketuai olehnya.

"Akhirnya pencarian kami tamat apabila pelajar berkenaan berjaya di temui di kawasan bendang berhampiran pada jam 12.15 tengah hari.

"Kes ini dianggap selesai apabila mangsa hilang telah ditemui," katanya.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman yang mengesahkan kejadian itu berkata, hasil siasatan mendapati pelajar itu sedang menghadapi kemurungan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...