Wednesday, September 12, 2012

Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 fokus 11 Anjakan



KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PPP 2013-2025) akan dilaksanakan berasaskan 11 anjakan utama bagi memastikan transformasi pendidikan negara bersifat futuristik dan jangka panjang.

PPP 2013-2025 yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh 13 tahun dan membabitkan tiga fasa (gelombang) dijangka bakal menempatkan sistem pendidikan Malaysia setaraf dengan sistem yang dimiliki negara membangun. 

Fasa atau gelombang pertama membabitkan penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan, di mana keperluan guru diberikan penekanan serta pelajar akan diberikan tumpuan dalam pembangunan kemahiran asas mereka. 

Bagi gelombang kedua, rancangan pelaksanaannya akan dilakukan berasaskan perkembangan dan pencapaian semasa.

Untuk gelombang ketiga pula, bermula 2020 hingga 2025, kuasa autonomi membabitkan pentadbiran sekolah akan diberikan.


11 anjakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia:

1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa;
2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;
3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;
4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;
5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;
6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;
7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di seluruh Malaysia;
8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;
9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;
10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;
11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...