Saturday, September 08, 2012

Perbuatan Keji Ustaz Cabul Dua Murid Sekolah Rendah Terbongkar

KAJANG: Seorang guru agama berusia 20-an layak digelar ustaz setan apabila menjadikan dua murid perempuan yang berusia tujuh dan lapan tahun sebagai pemuas nafsunya dalam kejadian di sebuah sekolah rendah di Bandar Baru Bangi sejak Ogos lalu.

Difahamkan, suspek yang sudah mengajar di sekolah berkenaan sejak setahun lalu akan membawa mangsa ke tempat sunyi di kawasan sekolah sebelum mencabul mereka. Tambah keji, suspek turut mengugut untuk menghukum mangsa sekiranya mangsa menceritakan kejadian itu kepada orang lain termasuk keluarga mahupun rakan serta guru.

Bagaimanapun, perbuatan keji suspek terbongkar Isnin lalu apabila mangsa pertama iaitu kanak-kanak berusia tujuh tahun memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapanya sebelum pasangan suami isteri berusia lewat 20-an itu membuat laporan kira-kira jam 8 malam di Balai Polis Kajang.

Menurut sumber, berdasarkan laporan yang diterima, sepasukan polis yang melakukan siasatan kemudiannya menahan suspek di rumahnya, di sini, kelmarin.

Bercerita lanjut mengenai kejadian itu, sumber berkata, siasatan lanjut pihak berkuasa kemudian mendapati selain kanak-kanak berusia tujuh tahun itu terdapat beberapa mangsa lain.

“Berdasarkan siasatan yang dilakukan, pihak berkuasa mendapati terdapat seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun turut dicabul,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu, keluarga kepada kanak-kanak berusia lapan tahun itu turut tampil membuat laporan polis mengenai insiden berkenaan tidak lama kemudian.

“Sehingga kini, pihak berkuasa menerima dua laporan berhubung kejadian itu dan sedang menyiasat kemungkinan terdapat mangsa lain yang dicabul suspek,” kata sumber itu lagi.

Sumber itu berkata, modus operandi yang digunakan suspek ialah dia akan membawa mangsa ke tempat sunyi sebelum memeluk, mencium dan memegang kemaluan mangsa.

Tambah sumber itu, dua murid itu sudah dirujukkan ke hospital berhampiran kawasan berkenaan dan difahamkan, mereka masih trauma dengan insiden berkenaan.

Sumber itu berkata, suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK).

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohamad Adnan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan penahanan suspek, namun enggan mengulas lanjut.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...