Friday, September 07, 2012

Perpustakaan mesra alam bernilai RM40 juta dibina di KK


KOTA KINABALU - Sebuah perpustakaan berkonsepkan mesra alam bernilai RM40 juta akan dibina di bandar raya ini bagi menggantikan perpustakaan sedia ada yang sudah berusia lebih 40 tahun di ibu negeri Sabah ini.

Bangunan Perpustakaan Wilayah Kota Kinabalu itu bercirikan 'perpustakaan dalam taman' memandangkan kedudukannya yang strategik berdekatan Taman Perdana Tanjung Aru.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengalu-alukan kerjasama julung kalinya pembabitan syarikat swasta dalam memperuntukkan sebahagian kos pembinaan prasarana itu yang dijangka siap pada pertengahan 2015.

"Kerajaan ingin merakamkan perhargaan kepada Lahad Datu Water Supply atas inisiatif dan komitmen yang dipamerkan dalam membantu kerajaan negeri membina kemudahan ini," katanya dalam ucapan pada majlis pecah tanah Bangunan Perpustakaan Negeri Sabah Wilayah Kota Kinabalu di Tanjung Aru, di sini, hari ini.

Teks ucapan Musa dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin yang mewakili Ketua Menteri pada majlis itu.

Musa berkata perpustakaan yang berkonsepkan teknologi hijau itu akan dibina dengan pelbagai kelengkapan canggih bagi kemudahan pengguna terutama pelajar sekolah.

Katanya, pemilihan lokasi yang strategik, keluasan tapak tanah dan tempat letak kereta mencukupi akan memberi keselesaan kepada pengguna ke arah perkembangan minda dan peluasan ilmu bagi peningkatan taraf pendidikan seluruh lapisan masyarakat.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Azizah Mohd Dun berkata perpustakaan yang berkonsep 'bangunan hijau' itu merupakan bangunan yang bercirikan teknologi binaan mesra alam semulajadi yang memberi tumpuan terhadap kecekapan penggunaan tenaga, air dan bahan mentah.

"Penciptaan bangunan hijau adalah suatu inovasi baharu yang bukan sahaja memberi kebaikan kepada alam sekitar malah kepada ekonomi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Lahad Datu Water Supply Datuk Steven Tan berkata pembabitan syarikatnya dalam usahasama itu atas inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bagi melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti di negeri ini.  - Bernama, 4 Sept

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...