Saturday, September 08, 2012

PPKS Ambil 22 Sekolah Angkat


KUCHING 5 Sept. - Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) mengambil inisiatif menjadikan 22 buah sekolah menengah di negeri ini sebagai sekolah angkat bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan separuh mahir dalam bidang teknikal.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Jaya, SMK Petra Jaya, SMK Demak Baru, SMK Kota Samarahan, SMK Lake, SMK Tunku Abdul Rahman, SMK Batu Lintang, SMK Wira Penrissen, SMK Batu Kawa, SMK Sungai Maong, SMK Bako dan SMK Muara Tuang.

Turut tersenarai ialah SMK Santubong, SMK Bandar Samariang, SMK Semerah Padi, SMK Seriam, SMK Gedong, Sekolah Menengah Teknik (SMT) Sejingkat, Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Matang, SMV Betong, SMV Miri dan Kolej Vokasional Kuching.

Pengarah Eksekutif PPKS, Baharudin Abdullah berkata, pelajar di 22 sekolah berkenaan akan diberi keutamaan untuk melanjutkan pelajaran di kampus PPKS selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Katanya, program sekolah angkat itu merupakan tanggungjawab sosial PPKS dalam membantu golongan belia mencorak masa depan masing-masing di samping memberi peluang kedua kepada mana-mana lepasan sekolah yang kurang cemerlang dalam bidang akademik.

"Kami yakin program itu juga akan dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang bidang teknikal dan vokasional sekali gus menarik minat mereka untuk menceburinya sebaik sahaja menamatkan persekolahan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Sekolah Angkat dengan 22 wakil sekolah terbabit yang turut disaksikan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal), Datuk Len Talif Salleh di sini hari ini.

Terdahulu, Len Talif ketika berucap berkata, dalam tempoh lapan tahun lagi, kerajaan negeri bertekad melahirkan lebih ramai graduan teknik dan vokasional bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di wilayah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

"Pada masa ini, proses transformasi pendidikan teknikal dan vokasional sedang berlaku dengan rancak di seluruh negeri, lebih-lebih lagi apabila Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) ditubuhkan sejak Mac lalu," katanya.

- Utusan Malaysia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...